PERBINCANGAN untuk mencari pengganti ketua polis negara (KPN) dan timbalannya akan diadakan tidak lama lagi dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Muhyiddin Yassin.
Menteri dalam negeri itu menjelaskan perbincangan itu perlu diadakan kerana kedua-dua pegawai tertinggi polis negara itu akan bersara tidak lama lagi.
“Kami akan putuskan kemudian tentang pengganti kedua-dua jawatan penting pasukan polis ini.
“Saya akan bincang dengan Tun (Dr Mahathir) tidak lama lagi kerana tarikh persaraan (mereka) semakin dekat dan ia akan diputuskan tidak lama lagi,” katanya kepada wartawan di Semenyih hari ini.
Difahamkan yang KPN Muhammad Fuzi Harun akan bersara Mei ini, dan Timbalannya Noor Rashid Ibrahim akan bersara bulan depan, Mac.
Noor Rashid sepatutnya bersara pada 17 Mac tahun lepas tetapi khidmatnya dilanjutkan setahun lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata kementerian akan meneliti penyelesaian terhadap jenayah dadah dalam kalangan pelajar sekolah.
Katanya, wujud trend membimbangkan berkaitan jenayah itu dalam kalangan kumpulan berisiko itu.
“Trend itu sangat membimbangkan kerana ada penyebaran dadah baharu melibatkan pelajar bawah 18 tahun.
“Kami ada rancangan untuk mengatasi masalah ini, tetapi yang lebih penting adalah tanggungjawab ibu bapa,” tambahnya.
Semalam, Fuzi dilaporkan berkata yang polis bimbang dengan peningkatan pelajar sekolah yang kini terlibat dalam jenayah berat seperti jenayah terancang, dadah, salah laku seks dan keganasan.
Malah, statistik jenayah berkaitan dadah melibatkan pelajar sekolah menunjukkan 467 tangkapan dibuat pada 2017, dan jumlah itu meningkat kepada 577 tahun lepas. – 9 Februari, 2019.
Komen