AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dimansuhkan kerana ia tidak pernah junjung keadilan, kata peguam Syahredzan Johan pagi tadi.
Setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang itu menjelaskan yang di bawah Sosma, seorang suspek pengganas misalnya tidak boleh diikat jamin tetapi suspek bukan Sosma yang walaupun merompak harta negara jutaan ringgit masih dapat kebebasan jaminan.
“Sosma undang-undang yang tak adil. Jika anda didakwa di bawahnya, anda tak boleh dijamin. Walaupun pertuduhan yang anda terima hanya mempunyai sekeping gambar ketua Daesh, anda tak boleh bebas ikat jamin.
“Bagaimanapun, jika anda merompak jutaan ringgit duit pembayar cukai, anda masih boleh bebas dan muncul dengan slogan ‘Malu Apa Bossku’,” sindir Syahredzan merujuk kepada slogan digunakan Najib Razak yang berdepan 42 pertuduhan jenayah dan sehingga kini masih bebas.
Jelasnya lagi, perbicaraan di bawah Sosma tidak adil kerana pendakwaan boleh memanggil “saksi terlindung” untuk memberi keterangan di mahkamah.
Konsep “saksi terlindung” ini menurut peguam itu, adalah sesorang yang tidak boleh diketahui oleh defendan.
“Perbicaraan itu sendiri tidak adil. Pendakwaan boleh panggil ‘saksi terlindung’ untuk beri keterangan. Anda tak tahu siapa saksi ini, tak boleh tengok muka dia dan tak tahu apa-apa mengenainya.
“Saksi (terlindung) itu kemudian akan beritahu mahkamah yang tertuduh terlibat dalam keganasan, dan mendakwa kenal tertuduh dan tertuduh pernah mengaku aktiviti (keganasannya) sebelum ini,” kata peguam terkenal itu pada sebuah forum di Petaling Jaya hari ini.
Syahredzan yang pernah mengendalikan beberapa kes Sosma, turut mencadangkan hanya mahkamah diberikan kuasa menentukan berapa lama suspek ditahan.
“Benar yang United Kingdom ada undang-undang membenarkan seseorang ditahan selama 28 hari tetapi ia berbeza dengan kita.
“Di UK, mahkamah akan menentukan sama ada seseorang itu boleh ditahan atau tidak, tetapi di Malaysia ia terletak pada budi bicara polis untuk menentukan apa yang berlaku.
“Di UK, ia digelar tahanan kehakiman dan polis perlu memberikan bukti melampaui keraguan munasabah sebagai alasan untuk menahan seseorang.”
Beliau menekankan yang keseluruhan proses perbicaraan dan pengumpulan bukti juga dilakukan dalam tata cara yang tidak adil kepada tertuduh.
“Sosma adalah akta kejam. Selaku seorang pelajar undang-undang dahulu ketika saya mula belajar, kami diberitahu yang seseorang berhak mendapat perbicaraan yang adil dan bebas, tetapi ia tidak berlaku di bawah Sosma.
“Polis boleh keluarkan statistik tangkapan dan mereka yang didakwa, tetapi semua ini tidak bermakna.
“Tidak bermakna kerana ia bukan perbicaraan yang bebas dan adil saksama,” katanya. – 9 Februari, 2019.
Komen