AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) perlu dimansuhkan segera kerana ia disalahgunakan, kata Ahli Parlimen Maria Chin Abdullah.
Maria, yang pernah ditahan di bawah Sosma ketika pentadbiran Barisan Nasional pada 2016 berkata, terdapat banyak pelanggaran hak asasi manusia yang dilaporkan oleh ahli keluarga mereka yang ditahan di bawah undang-undang itu.
“Tiada cara lain lain tapi hapuskan Sosma,” kata Maria pada sebuah orum bertajuk ‘Who is the Terrorist’ yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.
“Sosma tidak diperlukan kerana kita memiliki undang-undang lain di negara ini, undang-undang yang masih berfungsi dan boleh digunakan untuk membanteras keganasan.”
Mengimbas kembali penahanannya, Ahli Parlimen Petaling Jaya yanng juga bekas pengerusi Bersih 2.0 itu berkata penahanannya adalah jelas bermotifkan politik, kerana organisasinya berjaya meraih sokongan daripada rakyat untuk pilihan raya bersih dan adil.
“Ia kerana tugas saya untuk Bersih – bermotif politk dan polis memberitahu saya Sosma bileh digunakan terhadap ahli politik, keganasan dan juga jenayah,” katanya.
“Ini adalah jelas salah guna kuasa dan saya diberitahu ramai tahanan menderita kerana diseksa.
“Bersalah atau tidak, mereka perlu ada perbicaraan yang adil dan penahanan perlu dibuat dengan bukti.”
Beliau menggesa kerajaan baru untuk mempercepat pembentukan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis untuk membolehkan badan bebas menyiasat kesalahan polis.
Maria ditahan selama 10 hari oleh polis di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan yang memudaratkan demokrasi parlimen dan ditahan di bawah Sosma, yang memberi kuasa kepada polis untuk menangkap dan menahan seseorang sehingga 28 hari.
Polis juga mempunyai kuasa untuk “menangguhkan” hak tahanan untuk bertemu keluarga dan peguam mereka sehingga 48 jam. Tiada jaminan dibenarkan bagi mereka yang ditangkap di bawah Sosma. – 9 Februari, 2019
Komen