Bersatu umum calon PRK Semenyih 14 Februari 


Asila Jalil

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika bercakap pada sidang media di Semenyih hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Februari, 2019

BERSATU akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil Semenyih pada 14 Februari, iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.

Presiden parti itu Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman akan dibuat pada pukul 4 petang sama ada oleh beliau sendiri atau Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Kami akan perkenalkan calon kami pada 14 Februari. Sama ada saya sendiri atau Dr Mahathir akan membuat pengumuman.

“Pengumuman itu akan dibuat pada pukul 4 petang di Semenyih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin Bersatu Semenyih hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung calon namun berkata, profil penuh akan disiarkan selepas pengumuman dibuat.

Muhyiddin berkata, parti juga akan mempertimbangkan untuk meletakkan penduduk asal Semenyih sebagai calon berikutan permintaan masyarakat setempat.

“Kita akan mengambil kira faktor itu. Selepas banyak pertemuan antara pimpinan tempatan dengan masyarakat diadakan, kebanyakan mereka mahukan calon tempatan.

“Tetapi calon itu perlulah berkelayakan, berkemampuan dan baik,” kata Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri.

Pilihan raya itu diadakan selepas kematian Adunnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung ada 11 Januari lalu.

Pada PRU14, Bakhtiar mendapat 23,428 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Johan Abd Aziz, Mad Shahmidur Kosim (PAS) dan S. Arutchelvam (Parti Sosialis Malaysia) dengan majoriti 8,964 undi.

Muhyiddin berkata beliau tidak pasti apa straetgi yang akan digunakan pembangkang pada pilihan raya kali ini namun menekankan parti itu tidak akan megambil mudah pilihan raya itu.

“Jentera kita perlu bersatu dan bertindak sebagai pasukan kerana ia bukan pilihan raya kecil yang mudah. Ia tugas yang berat.

“Saya terlibat dalam banyak pilihan raya dan tiada satu pun yang saya ambil mudah.

“Kita perlu bekerja keras walaupun jika kita rasa boleh menang. Harapan untuk menang sahaja tidak cukup,” katanya.

Ditanya sekiranya isu yang menyelubungi parti akan memberi kesan kepada peluang untuk menang, Muhyiddin berkata beliau tidak menganggap isu tu sebagao perkara utama.

“Tiada isu besar. Tiada masalah dengan kepimpinan dan mengenai setiausaha kita, isu itu sudah dijawab,” tambahnya merujuk kepada Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya yang dikritik berhubung kelayakan akademiknya.

Muhyiddin juga berkata, parti itu akan memfokuskan kepada isu kos sara hidup ketika tempoh berkempen. Isu lain yang akan diselesaikan parti itu di Seenyih adalah banjir dan kemudahan kesihatan.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Semenyih akan diadakan pada 16 Februari dan hari mengundi pada 2 Mac. Undi awal dijadualkan pada 26 Februari. – 9 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen