Eksport ketum Indonesia cecah AS$130 juta setahun


KAWASAN pendalaman Borneo, Indonesia kini menjadi tapak utama penanaman dan pengeluaran ketum, daun yang dianggap sesetengah pihak penyembuh ajaib untuk pelbagai penyakit termasuklah ketagihan opioid dan kegusaran. 

Sebahagian daripada keluarga kopi, daun itu digunakan berkurun lamanya di Asia Tenggara dan Papua New Guinea kerana kemampuannya meredakan kesakitan dan memberi rangsangan tetapi kini mula dijual dalam bentuk serbuk dan dieksport seluruh dunia- mencetuskan kebimbangan kesihatan tentang keselamatannya. 

Ketum merangsang bahagian otak sama seperti dadah jenis morfin, walaupun kesannya lebih sederhana. 

“Saya ambil ketum dan tak ada masalah. Semua benda ada manfaatnya- sama ada tolong anda untuk rehat, yang lain ambil untuk rawat insomnia atau ketagihan dadah lain. Ada yang tolong tingkatkan stamina,” kata Faisal Perdana, seorang penanam ketum kepada AFP. 

Seorang lagi penanam ketum, Gusti Prabu, yang kini mengeksport sehingga 10 tan dadah itu setiap bulan juga bersetuju. 

“Nenek moyang kami guna ketum dan tidak ada kesan negatif. Ia bantu hapuskan ketagihan dadah dan orang detox,” jelasnya. 

Tetapi, popularitinya yang meningkat naik menimbulkan kebimbangan- dadah itu tidak dikawal selia dan tidak banyak ujian klinikal dijalankan untuk mengetahui kesannya. 

Ketum sudah diharamkan untuk kegunaan domestik di Indonesia, Malaysa dan Thailand, walaupun Indonesia membenarkan ia dieksport dalam bentuk tidak diproses. 

Pihak berkuasa AS- yang kini pengimport utama dadah itu- sudah mengaitkan penggunannya dengan berpuluh kematian, memberi amaran ia boleh jadi wabak dadah terbaru mencengkam negara itu. 

Bahan dalam ketum adalah opioid, dan mendedahkan penggunanya kepada risiko ketagihan dan kematian sama seperti dadah lain, menurut Pentadbiran Dadah dan Makanan AS (FDA). 

Tetapi, untuk petani di Kapuas Hulu, Kalimanatan Barat- pusat utama pengeluaran- permintaan ketum sangat tinggi sehingga mereka beralih daripada tanaman tradisi lain seperti getah dan kelapa sawit untuk menanam ketum. 

Dan di pejabat pos di Pontianak, pusat pengangkutan utama di kawasan Borneo, Indonesia, jelas sekali yang amaran risiko kesihatan tidak memberi kesan. 

“Sekitar 90% penghantaran Kalimantan Barat adalah ketum yang dijual ke AS,” kata ketua pos Zaenal Hamid. 

Sejumlah lima juta rakyat AS menggunakan dadah itu, dan ia semakin berkembang, kata Persatuan Ketum Amerika. 

Data pada 2016 menunjukkan kawasan itu menghantar 400 tan setiap bulan- mencecah AS$130 juta setiap tahun pada harga pasaran global AS$30 sekilo. 

Kebanyakan pengguna ketum dicari dalam talian seperti Facebook, Instagram dan Alibaba. 

Trend perubatan alternatif dikatakan jadi puncak semakin ramai warga Eropah dan Amerika tertarik menggunakannya, yang selalu diambil sebagai teh atau dalam pil. 

Epidemik opioid

AS sedang berdepan dengan epidemik opioid, dirangsang oleh ubat penahan sakit serta dadah seperti heroin dan lain-lain. 

Ketum tidak melanggar undang-undang di 43 negeri negara itu, tetapi FDA sedang mendesak sekatan lebih ketat dan sudah mengeluarkan amaran import ke atasnya yang bermaksud penghantaran ke AS boleh dirampas. 

Dalam satu kenyataan, FDA memberi amaran supaya tidak menggunakan dadah itu dan “bimbang ketum mendedahkan penggunanya kepada ketagihan, salah guna dan kebergantungan.” 

Ahli sains pula berpandangan walaupun ada kesan positif ketum masih tidak ada kajian mencukupi dilakukan untuk mengetahui kesan sepenuhnya dadah itu. 

“Ada berpotensi besar untuk melegakan kesakitan dan mengatasi ketagihan opiodi serta potensi aksesnya,” kata Michael White, ketua Jabatan Farmasi Universiti Connecticut kepada AFP. 

“Ia ada potensi tetapi masih belum terbukti,” katanya. 

Buat masa kini, pengeluar di Indonesia menunggu kesan perdebatan penyeliaan dadah itu di AS. 

Walaupun cuaca buruk dan salmonella menjejaskan eksport pada 2017, data awal menunjukkan penghantaran ketum kembali meningkat tahun lepas. 

Penanam ketum, Prabu, bertegas: “Pasaran ketum sangat baik sejak sedekad lepas dan masih berpotensi pada tahun mendatang.”

“Orang akan nampak kegunaannya, tidak lama lagi.”– AFP, 9 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen