KEMUNGKINAN keputusan Goldmans Sachs memotong bayaran bonus kepada eksekutif atasannya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencerminkan pengiktirafannya terhadap kemarahan pemegang saham dan orang ramai terhadap isu itu.
Bank pelaburan berprestij itu minggu lalu mengumumkan ia mungkin menahan bonus bernilai jutaan dolar kepada bekas ketua eksekutif Lloyd Blankfein dan dua eksekutif bersara lain, bergantung kepada hasil siasatan berterusan terhadap dana Malaysia itu.
Bonus pertama kali diluluskan pada 2011 dan pembayaran tahunan bergantung kepada prestasi firma selama lapan tahun berikutnya. Dalam kes Blankfein, bonus bermula pada AS$7 juta (RM28.5 juta) dan hampir dua kali ganda, menurut dokumen sekuriti AS.
Selain bonus, Goldman juga berkata ia mungkin menarik balik pampasan daripada ketua eksekutif semasa David Solomon dan dua eksekutif kanan, Presiden John Waldron dan Ketua Pegawai Kewangan Stephen Scherr.
Salomon dibayar AS$23 juta tahun lepas, termasuk AS15.4 juta dalam bentuk pilihan saham.
Pengumuman mengenai bonus itu bertujuan menjadi mesej kepada para pemegang saham yang kecewa mengenai skandal rasuah menjejaskan imej bank pada masa ia sedang berusaha untuk membina perniagaan perbankan pengguna melalui platform Marcus, menurut dua individu yang biasa dengan perkara itu.
Lembaga pengarah mahu para pemegang saham mengetahui ia tidak buta terhadap situasi yang berlaku, kata salah satu sumber, sambil menambah mesej itu bukanlah bermaksud sebagai pengakuan salah laku.
Selain Salomo, yang juga menjadi pengerusi, lembaga pengarah Goldman dengan 13 anggota Goldman termasuklah Ketua Eksekutif ArcelorMittal, Lakshmi Mittal.
Pakar mengatakan Goldman Sachs mungkin berdepan denda sebanyak AS$2 bilion di bawah kes jenayah berkaitan dengan 1MDB.
Pada Januari, Salomon meminta maaf kepada Malaysia berhubung skandal itu dan penglibatan bekas rakan Goldman, Tim Leissner, yang mengaku bersalah melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram AS. – AFP, 9 Februari, 2019.
Komen