SEORANG wanita dengan rekod masalah mental didakwa kerana memulakan kebakaran di sebuah bangunan di Paris yang membunuh 10 orang, kata pendakwa raya Perancis.
Pendakwa raya Perancis berkata, suspek, yang sudah ditahan dalam kemudahan psikatari polis sejak ditahan, didakwa pada Jumaat kerana memulakan kebakaran sehingga “menyebabkan kematian”.
Kebakaran pada Selasa lalu di tingkat atas sebuah bangunan di kawasan kejiranan mewah 16th Paris, adalah yang terburuk di kota itu sejak 2005.
Tiga puluh orang lain lagi cedera dalam kebakaran itu yang menghanguskan bahagian belakang bangunan.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an, yang tinggal di bangunan itu, pernah dirawat berpuluh kali di kemudahan psikatari seluruh Paris.
Enam hari sebelum memulakan kebakaran maut itu, dia dibenarkan keluar daripada klinik dengan izin doktor yang mengisytiharkan dia sihat selepas mendapatkan rawatan selama 12 hari, kata Pendakwa Raya Remy Heitz pada sidang media awal minggu ini.
Rakaman kebakaran penuh dramatik menunjukkan kebakaran yang berlaku di malam hari dengan mangsa menjerit meminta tolong daripada tingkap kediaman masing-masing, dan anggota bomba yang memanjat tangga untuk membawa mangsa turun daripada bangunan lapan tingkat itu.
Suspek dikatakan bergaduh dengan jirannya, seorang anggota bomba, dan sekali lagi bergaduh sebelum memulakan kebakaran, kata polis.
Dia “mabuk ketika ditahan dan cuba membakar sebuah kereta,” kata polis lagi.
Wanita itu mempunyai rekod lampau dengan polis, termasuk menyebabkan kerosakkan dengan memulakan kebakaran tetapi tidak pernah disabitkan bersalah. – AFP, 9 Februari, 2019.
Komen