2 remaja Palestin maut ditembak tentera Israel


Ahli keluarga Hassan Shalabi mencium jenazah yang maut ditembak tentera Israel. – Gambar AFP, 9 Februari, 2019.

DUA remaja Palestin terbunuh akibat terkena tembakan tentera Israel pada Jumaat semasa pertempuran di sepanjang sempadan Gaza, kata kementerian kesihatan di wilayah Hamas.

Hassan Shalabi, 14, ditembak semasa demonstrasi di sepanjang sempadan dengan Israel di selatan Jalur Gaza, kata kementerian itu.

Ia turut mengumumkan kematian Hamza Ishtawi yang berusia 18 tahun tidak lama selepas itu, mengatakan mangsa ditembak di leher semasa pertempuran serupa di timur Bandar Gaza.

Seorang lagi remaja 17 Palestin ditembak dan cedera di lokasi lain semasa protes di sepanjang sempadan, kata kementerian itu.

Tentera Israel enggan memberi komen mengenai kematian itu, tetapi berkata 8,200 orang “perusuh dan demonstrasi” membantah di sepanjang perbatasan.

“Mereka membaling batu kepada tentera Israel dan ke arah pagar keselamatan, serta beberapa alat letupan yang tidak berjaya melepasi pagar,” kata seorang jurucakap, sambil menambah mereka terdengar letupan bom tangan.

Tentera Israel “bertindak balas dengan melepaskan tembakan mengikut prosedur operasi standard”, tambahnya.

Penduduk Palestin di Gaza selama hampir setahun berkumpul sekurang-kurangnya seminggu di sepanjang sempadan untuk bantahan, menggesal Israel menamatkan sekatannya di kawasan itu.

Israel mengatakan ia melindungi sempadannya dan menuduh Hamas mengatur protes.

Sekurang-kurangnya 249 orang Palestin terbunuh akibat tembakan Israel sejak itu, majoriti ditembak semasa pertempuran, walaupun yang lain terkena serangan kereta kebal atau udara.

Dua tentera Israel terbunuh dalam tempoh yang sama.

Protes berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan selepas persetujuan tidak rasmi antara Israel dan Hamas. – AFP, 9 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen