SEORANG lelaki berusia 29 tahun yang menembak mati enam jemaah di sebuah masjid di bandaraya Quebec dalam serangan anti-Islam terburuk di Barat menerima hukuman penjara seumur hidup pada Jumaat.
Alexandre Bissonnette perlu menunggu 40 tahun - lebih lama daripada biasa - sebelum boleh memohon parol.
Hakim Francois Huot menolak permintaan pihak pendakwa untuk hukuman 150 tahun, yang mungkin menjadi paling lama di Kanada, mengatakan ini akan menjadi hukuman kejam dan luar biasa di bawah undang-undang Kanada.
Tetapi beliau juga menyatakan “kebencian meluap-luap” pembunuh itu terhadap pendatang Islim dalam keputusannya.
Ahmed Cheddadi, yang cedera dalam serangan itu, berkata hukuman itu sesuai kerana beliau mendapati tidak mungkin Bissonnette akan dibebaskan.
Serangan “yang dirancang” pembunuh di masjid itu akan menjadi sejarah Kanada “ditulis dengan darah” sebagai salah satu tragedi terburuk negara ini, kata Huot di mahkamah.
Tindakan Bissonnette cuba untuk “melemahkan nilai dasar masyarakat kita,” tambahnya.
Bergelar pelajar universiti semasa penembakan itu, Bissonnette tergoda dengan ideologi nasionalis dan supremacist untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai itu, kata Huot.
Ketika keputusan 240 halaman dibacakan selama tempoh enam jam, Bissonnette duduk diam di ruang mahkamah yang penuh sesak, sambil memandang ke bawah sementara ibu bapanya, beberapa kawan dan keluarga mangsa menyapu air mata.
Pada malam 29 Januari 2017, Bissonnette merempuh masuk ke masjid Bandaraya Quebec dan melepaskan tembakan secara rambang kepada 40 lelaki dan empat kanak-kanak yang sedang berbual selepas solat.
Enam lelaki terbunuh dan lima cedera parah, salah seorang daripadanya kini lumpuh.
Semua yang terkorban mempunyai dua kerakyatan yang berhijrah ke Kanada sejak beberapa dekad lalu: dua rakyat Algeria, dua orang Guinea, seorang Maghribi dan seorang Tunisia.
Mereka adalah sarjana, penjual daging, pengendali rumah jagaan, seorang pekerja industri makanan, penjawat awam dan pengaturcara komputer. – AFP, 9 Februari, 2019.
Komen