Tahun Baharu Cina tidak bermakna buat gelandangan di Kuala Lumpur 


Asila Jalil

Seorang gelandangan berbaring di kaki lima hadapan sebuah kedai di Kuala Lumpur. – Gamnbar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Februari, 2019

BERJALAN kaki di kawasan seperti Jalan Pasar atau Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur menyaksikan sekumpulan besar gelandangan menyambut Tahun Baharu Cina tanpa kegembiraan, makan besar dan keluarga. 

Bagi mereka, ia sama sahaja sebagaimana hari-hari lain. Ada yang menjadi gelandangan atas kehendak sendiri, ada yang kerana ditinggalkan. 

Tam Ah Hua duduk di atas tanjakan di kawasan parkir terbuka di bawah jejambat Jalan Loke Yew, membantu kereta parkir bagi mendapatkan wang ketika dihampiri The Malaysian Insight. 

Katanya, beliau mampu meraih sehingga RM30 sehari dengan kerja itu. 

“Kereta besar atau lori akan berikan saya RM5. Saya belanjakan untuk makan dan barang keperluan lain,” katanya sambil tersenyum kepada beberapa penduduk tempatan di kawasan berkenaan. 

Tam meninggalkan Taiping tiga tahun lalu selepas kematian isterinya dan berada di Pudu sejak itu. Beliau tiada hala tuju dan memutuskan untuk tinggal di Pudu. 

Ketika di Taiping, Tam merupakan seorang kontraktor. Bagaimanapun beliau berhenti kerja selepas diserang strok yang menyebabkan kaki kirinya separuh lumpuh.

Beliau hanya memakai seluar pendek lusuh dan koyak serta memegang sebuah telefon bimbit lama di tangannya. Setiap beberapa minit, matanya tidak lekang daripada memeriksa telefon berkenaan namun tidak menyatakan sama ada sedang menunggu sebarang panggilan atau mesej. 

“Saya ada dua orang anak perempuan tetapi mereka tidak pedulikan saya. Jadi saya lari. 

“Saya rasa mereka tidak mahukan saya selepas isteri saya meninggal dunia. Saya sering bergaduh dengan anak perempuan saya. Saya memutuskan untuk pergi kerana saya rasa itu merupakan keputusan terbaik,” tambahnya. Tam Ah Hua yang mencari rezeki dengan membantu kereta parkir, meninggalkan Taiping tiga tahun lalu selepas kematian isterinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Februari, 2019.

Katanya Tahun Baharu Cina sama sahaja sebagaimana dua tahun sebelum ini. 

“Saya tiada keluarga, anak perempuan saya tidak cari saya. Jadi saya bekerja dan sambut di sini,” katanya sambil ketawa. 

Ramai gelandangan menjadikan tempat letak kereta terbuka itu sebagai rumah mereka. Selain Tam, terdapat kira-kira 10 orang gelandangan lain yang duduk dan tidur beralaskan kotak berhampiran timbunan sampah. 

Lon Chiong Chin duduk di hadapan tandas awam sambil memerhatikan sekelilingnya. Kepingan kotak miliknya terlipat kemas dan diletakkan di belakang kerusinya. 

Menurutnya, beliau tidak dapat bekerja di parkir kereta itu kerana kakinya lemah. 

“Di sini sangat sukar untuk saya, saya tidak dapat cari duit sedangkan yang lain boleh,” katanya.

Lon lari dari rumah ketika berusia 15 tahun. Katanya, beliau tidak mahu bersama keluarganya dan merasakan mereka juga merasakan begitu dengannya.

“Saya berasal dari Chow Kit. Saya berpindah ke banyak tempat di bandaraya ini dan sekarang saya hanya duduk di Pudu. 

“Penduduk di sini sangat baik, peniaga sering berikan saya makanan,” kata lelaki berusia 69 tahun yang sudah lapan tahun tinggal di Pudu. 

Beliau melakukan pelbagai pekerjaan ketika masih muda untuk menyara dirinya tetapi kini beliau tidak mampu lagi bekerja. 

Katanya, pihak berkuasa sering mendekatinya dan merampas barangnya. Beliau turut bingung dengan perkara itu namun berfikir mereka mungkin mempunyai alasan untuk berbuat demikian.

“Tahun Baharu Cina tetap sama sejak hampir sedekad lalu. Hanya tunggu dan mengharapkan makanan daripada masyarakat,” tambahnya. 

Kawasan berhampiran Hotel Pudu Plaza juga merupakan lokasi tumpuan golongan gelandangan. Ada dalam kalangan mereka yang berlindung di tingkat bawah tanah kompleks berkenaan.

Keong pernah bekerja sebagai peniaga makanan berhampiran plaza namun terpaksa berhenti apabila usianya semakin lanjut. 

Lelaki berusia 70 tahun itu tidak mempunyai keluarga dan menyewa sebuah bilik kecil di Pudu ketika bekerja. Sewanya adalah RM150 sebulan. 

Bagaimanapun, beliau kini tiada pendapatan, dan berkata penyewa lain akan membayarkan sewa untuknya. 

Seorang gelandangan warga emas yang dapat dilihat di Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Februari, 2019.

“Saya tidak boleh bekerja tetapi penyewa yang duduk dengan saya faham dan benarkan saya untuk tinggal di situ,” katanya.

Keong berkata, polis sering menghampirinya ketika berada di plaza namun tidak melakukan apa-apa terhadapnya. 

Apabila ditanya mengenai rancangan Tahun Baharu Cina, Keong berkata beliau akan tunggu di tempat yang sama untuk mendapatkan makanan. 

“Saya tidak sambutnya lagi. Saya hanya tunggu di sini kerana setiap hari adalah sama sahaja bagi saya,” katanya sambil tersenyum. – 9 Februari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen