PASUKAN penyelamat pada Jumaat bertungkus lumus di lokasi insiden tanah runtuh yang menyebabkan 10 orang tertimbus di India Kashmir berikutan salji tebal di seluruh wilayah itu.
Runtuhan berkenaan turut melanda kemudahan kecemasan bomba di kawasan Banihal, di lembah Kashmir. Enam anggota polis, dua tahanan dan dua lagi anggota terperangkap ketika kejadian.
“Kita masih tidak dapat menyelamatkan sesiapa setakat ini berikutan cuaca buruk dan salji yang tebal,” kata ketua polis Kashmir Swayam Prakash Pani kepada AFP.
Seorang lagi terbunuh pada Khamis apabila rumahnya tertimbus di bawah runtuhan salji di kawasan selatan Kukarnag.
Kejadian runtuhan di Banihal berlaku dua hari selepas penurunan salji tebal yang menyebabkan bekalan elektrik terputus di banyak kawasan selain akses jalan raya terputus.
Lebih 50 penerbangan keluar masuk ke bandar utama di Srinagar turut dibatalkan.
Pihak berkuasa juga mula mencatu bekalan petrol dan diesel berikutan bekalan bahan api itu semakin berkurangan di lembah Kashmir. Cuaca buruk menghalang penghantaran bekalan selama dua minggu.
Kashmir berdepan bencana musim sejuk yang biasa.
Pada 28 Januari, satu runtuhan besar berlaku di kawasan pergunungan di Ladakh, berhampiran sempadan China, menyebabkan 10 orang terbunuh. Pasukan penyelamat mengambil masa seminggu untuk mengeluarkan mayat mangsa. – AFP, 8 Februari, 2019
Komen