RUNDINGAN antara Pejabat Perdana Menteri India, dengan Perancis mengenai perjanjian pembelian jet pejuang Rafale dibantah Kementerian Pertahanan India.
Menurut akhbar berbahasa Inggeris The Hindu pada Jumaat, rundingan bernilai jutaan dolar itu dibantah, memandangkan pihak kementerian juga telah mengadakan rundingan yang sama secara rasmi mengenainya, lapor agensi berita Xinhua.
Dalam satu laporan kementerian bertarikh 25 November 2015 menyebut perbincangan antara penasihat diplomatik kepada menteri pertahanan Perancis dan setiausaha bersama kepada perdana menteri sama dengan rundingan pasukan perundingan India yang dibentuk oleh kementerian pertahanan.
Pada 2015, menteri pertahanan ketika itu ialah Manohar Parrikar dan beliau kini ketua menteri di negeri Goa di barat India.
Berita itu menjadi senjata kepada pihak pembangkang Parti Kongres untuk mengkritik kerajaan dan menuduh Modi menandatangani kontrak terlalu mahal untuk pembelian 36 jet Rafale.
Tahun lepas, kerajaan memaklumkan kepada Mahkamah Agung bahawa Pejabat Perdana Menteri langsung tidak mempunyai kaitan dalam rundingan itu yang dijalankan oleh satu pasukan terdiri tujuh anggota. – Bernama, 8 Februari, 2019
Komen