Marzuki tak perlu letak jawatan, kata ahli akademik


Diyana Ibrahim

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Azmi Sharom berkata isu tersebut tidak harus diperbesarkan dan sebaik-baiknya diselesaikan secara dalaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2019.

KALANGAN ahli akademik berpendapat Marzuki Yahya tidak perlu meletak jawatan timbalan menteri luar walau didapati menipu mengenai kelayakan akademiknya.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Azmi Sharom berkata isu tersebut tidak harus diperbesarkan dan sebaik-baiknya diselesaikan secara dalaman.

Tambahnya, Malaysia juga tiada undang-undang yang mewajibkan wakil rakyatnya mempunyai kelayakan akademik.

“Ia bukan isu besar, nak jadi menteri atau timbalan ini tak perlu tengok sijil pun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun menegaskan, isu utama dalam kes Marzuki ada soal berterus terang.

“Di sini kepentingannya adalah sama ada seseorang itu berterus terang atau tidak,” katanya.

Isu mengenai kelulusan akademik Marzuki itu menjadi perhatian susulan laporan polis oleh seorang aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef yang mahu siasatan dibuat ke atas kelulusan ijazah timbalan menteri itu.

Ia ekoran laporan media sejak yang menyebut Marzuki memperolehi ijazah daripada University of Cambridge.

Mengulas kritikan yang timbul, Marzuki pada minggu ini mendakwa ijazah berkenaan diperolehi melalui satu program pembelajaran jarak jauh universiti berprestij itu.

University of Cambridge di United Kingdom bagaimanapun menafikan menawarkan apa-apa program pengajian jarak jauh.

Marzuki Yahya kini berdepan cabaran besar selepas kelulusan akademiknya dipertikai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2019.

Seterusnya, Marzuki menjelaskan bahawa nama universiti berkenaan adalah Cambridge International University yang beralamat di Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut mengenai kes tersebut, Azmi Sharom berkata isu penipuan kelayakan akademik atau membeli ijazah lebih banyak berlaku ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional.

“Macam mana pun akhir sekali kita lihat adakah beliau boleh buat kerja atau tidak.

“Sebab itu saya katakan isu ini selayaknya diselesaikan melalui dalaman. Parti yang perlu buat keputusan tindakan tapi tidaklah sampai letak jawatan.

“Mungkin lepas ini Bersatu dalam perhimpunan agungnya boleh letak syarat kelayakan akademik,” katanya lagi.

Tambahnya kekeliruan Marzuki memetik nama universiti merupakan perkara biasa yang kerap berlaku.

“Kalau saya contoh orang tersilap saya dari lulusan Universiti Hall dengan College Hall, sama juga Universiti Cambridge kita boleh faham kalau ada kekeliruan, ia cuma silap sikit dan tidak ada salah dengan perkara itu.”

Sementara itu Timbalan Pengerusi Institut Darul EhsanProfesor Redzuan Othman turut berpendapat Marzuki boleh terus berkhidmat sebagai wakil rakyat walau tanpa kelayakan akademik.

“Ada negara tertentu yang mempunyai syarat tersebut tapi tidak di Malaysia.

“Kalau tengok syarat Suruhanjaya Pilihan Raya, tidak ada syarat untuk kemukakan sijil akademik. Asalkan dipilih oleh rakyat sesiapapun boleh jadi wakil rakyat.

Namun beliau berkata, Marzuki perlu menjawab jika wujud unsur tidak jujur.

“Sebab itu saya katakan ia dua perkara berbeza wakil rakyat tidak mempunyai kelayakan tinggi tidak mempunyai masalah.

“Tapi kalau ada mempunyai unsur tidak jujur ia merupakan satu kesalahan lain yang perlu dijawab.”

The Malaysian Insight turut mendapatkan reaksi daripada Menteri Pendidikan Maszlee Malik berhubung pengiktarafan universiti tersebut.

Seorang pegawainya berkata, Maszlee akan menyemak status Cambridge International University sekiranya ada keperluan. – 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Memandangkan beliau tidak terus-terang mengenai ijazahnya, boleh kah kata-kata beliau dalam hal-hal negara dipercayai? Memang seseorang politik tidak perlu ada ijazah, tetapi tidak kak dia perlu ada kredibility, kejujuran, ketelusan?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan