Puteri Thai bertanding pilihan raya, lawan ketua junta


Puteri Ubolratana, kakak kepada raja sekarang, bertanding jawatan perdana menteri atas tiket parti rapat dengan keluarga dinasti politik Shinawatra, musuh junta tentera. – Gambar EPA, 8 Februari, 2019.

SEORANG puteri diraja Thailand akan bertanding merebut jawatan perdana menteri pada pilihan raya umum Mac ini, tindakan luar jangka oleh ahli keluarga diraja masuk ke dalam arena politik yang menyaksikan baginda akan melawan ketua junta tentera, mencetuskan persaingan sengit merebut kuasa pentadbiran negara itu. 

Puteri Ubolratana, 67, adalah kakak kepada Raja Thailand Maha Vajiralongkorn, diumumkan sebagai calon parti Thai Raksa Chart yang diterajui kumpulan politik berpengaruh, Shinawatra.

Institusi diraja Thailand adalah institusi kebal daripada kritikan menerusi perlindungan undang-undang, secara tradisinya dilihat tidak terlibat dalam arena politik, walaupun ada ketikanya keluarga diraja masuk campur dalam krisis politik yang berlaku.

Pencalonan Ubolratana dilihat mencetuskan cabaran besar kepada junta tentera yang dilihat mahu mengukuhkan kuasa melalui proksi pada pilihan raya umum 24 Mac depan.

Ia juga menarik kembali tumpuan kepada jentera politik Thaksin Shinawatra yang menang setiap pilihan raya sejak 2001 itu.

Pencalonan Ubolratana juga dikatakan akan menyatukan dua kumpulan berpengaruh, “Baju Merah” yang menyokong Thaksin dan “Baju Kuning” yang setia kepada raja. Sejak beberapa dekad lalu, pertempuran kedua-dua kumpulan ini seringkali berakhir dengan pertempuran darah.

“Lembaga pengarah bersetuju yang nama Puteri Ubolratana, seorang yang berpendidikan dan berkemahiran adalah pilihan terbaik,” kata Ketua Parti Thai Raksa Chart Preechapol Pongpanich kepada wartawan.

Parti itu dinaungi Thaksin, hartawan yang juga bekas perdana menteri dan kini hidup dalam buangan- tetapi sehingga kini sosok penting politik Thailand- dibenci tentera dan elit Bangkok tetapi dipuja masyarakat miskin dan luar bandar.

Pengumuman itu juga sekali lagi menariknya kembali ke tengah arena politik Thailand selepas rampasan kuasa tentera pada 2006, adiknya, Yingluck, juga disingkir menerusi rampasan kuasa pada 2014, memaksanya melarikan diri selepas berdepan pertuduhan jenayah. 

Tindakan puteri itu memberi cabaran besar kepada aspirasi politik Ketua Junta Prayut Chan-O-Cha yang menghabiskan lima tahun cuba mengekang sistem politik negara itu dengan membataskan kuasa kerajaan dan bersiap sedia bertanding merebut jawatan awam.

Prayut mengisytiharkan dirinya calon perdana menteri atas tiket parti tentera, Phalang Pracharat, tidak lama selepas pengumuman puteri diraja turut bertanding.

“Saya mahu memberi jaminan yang saya tak berhasrat terus berkuasa. Bukan mudah saya hendak buat keputusan, ia masa penting untuk negara.”

Tentera di bawah pimpinan Prayut menggambarkan diri mereka pelindung institusi diraja.

Tetapi, kemasukan tiba-tiba Ubolratana ke dalam politik, berpakat pula dengan musuh junta- keluarga Shinawatra- membawa cabaran baharu.

Ubolratana, puteri raja yang lebih ramah dan sering muncul di khalayak ramai berbanding abangnya, Raja Maha Vajiralongkorn, sebelum ini pernah melucutkan gelaran dirajanya pada 1972 kerana berkahwin dengan warga Amerika, Peter Jensen.

Selepas bercerai, baginda kembali ke keluarga diraja Thailand dan dianggap ahli penting keluarga diraja.

Thailand tidak pernah mempunyai perdana menteri daripada keluarga diraja sejak institusi raja berpelembagaan diasaskan pada 1932.

Dikenali ramai kerana sering muncul di khalayak, malah berlakon filem, persembahan pentas, dan mempunyai pengikut Instagram yang ramai, Ubolratana adalah anak sulung Mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Pada Piala Dunia 2018 di Rusia, baginda dirakam bergambar bersama Thaksin dan Yingluck, malah sering memberi petunjuk memihak kepada keluarga Shinawatra yang berpengaruh itu. – AFP, 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen