Tangani insiden bakar bendera Malaysia sewajarnya


Pihak berkuasa Filipina akan menangani insiden Elly Pamatong membakar bendera Malaysia. - Gambar AFP, 8 Februari 2019.

PIHAK berkuasa Filipina akan menangani insiden orang awam  bertindak membakar bendera Malaysia di negara itu dengan sewajarnya seperti yang dipaparkan dalam sebuah klip video.

Kedutaan Filipina dalam satu kenyataan hari ini berkata, kedutaan tidak akan membiarkan kejadian itu dan kesal ia telah menyinggung perasaan rakyat Malaysia.

“Kedutaan mengulangi jaminannya yang benar-benar komited terhadap perkembangan hubungan dua hala yang sangat baik antara Filipina dan Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kejadian membakar bendera itu dilakukan individu yang diketahui  melakukan banyak kontroversi pada masa lalu dan tindakannya tidak mewakili kedudukan rasmi  Filipina. 

Video kontroversi itu disiarkan dalam akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’ pada 19 dan 21 Januari lepas memaparkan Elly Pamatong yang mengaku sebagai pengasas ‘United States Allied Freedom Fighters of the East’ (USAFFE), membakar bendera Malaysia.

Sementara itu, di Kota Kinabalu, Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Sabah mengecam tindakan itu kerana ia merupakan perbuatan keterlaluan, terkutuk dan penghinaan kepada negara serta rakyat Malaysia.

Presidennya Brig Jen (K) Rela, Jerry Ambuting Mohd Said berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya perbuatan keji itu dan meminta pihak berkuasa Filipina mengambil tindakan tegas terhadap Elly.

Beliau turut meminta pejabat Kedutaan Filipina di ibu negara memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia berhubung tindakan berkenaan kerana tidak mahu hubungan baik antara dua negara terjejas akibat insiden ini. – Bernama, 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen