AHLI Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Isnin lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Menurut seorang pegawai di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sg. Besar, selepas selesai menjalani pembedahan, doktor telah “merehatkan” beliau supaya keadaannya stabil.
“Isnin buat pembedahan. Lepas cikgu (Muslimin) sedar doktor rehatkan balik sebab meracau. Biasalah lepas pembedahan.
“Doktor rehat sampai betul-betul stabil. Malam tadi sudah sedar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut pegawai tersebut, Muslimin menyedari terdapat saluran jantung yang bermasalah ketika membuat pemeriksaan kesihatan Disember tahun lalu.
Jelasnya, doktor memberikan pilihan sama ada untuk membuat pembedahan ataupun menerima rawatan melalui ubat.
“Kita sebenarnya tidak mahu hebohkan sebab cikgu hendak rehat, tidak mahu orang lawat semua,” katanya.
Pegawai tersebut turut menyuarakan rasa kesal apabila ada pihak-pihak tertentu yang sudah membayangkan bakal ada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar.
“Mana boleh cakap macam itu. Biadap. Spekulasi kononnya kritikal ini dimainkan musuh,” katanya kesal. – 8 Februari, 2019.
Komen