AHMAD Zahid Hamidi memberi gambaran beliau akan menamatkan percutian dan kembali memimpin Umno sebagai presiden selepas satu “peristiwa besar” di negara ini nanti.
Tanpa menjelaskan mengenai peristiwa besar itu, ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa demikian dengan memetik pandangan beberapa ulama.
“Saya akan bercuti sehingga satu tempoh di mana saya perlu menghabiskan cuti saya. Mengikut kasyaf para ulama menyebutkan bahawa akan berlaku satu peristiwa besar di negara kita.
“Tidak pasti bila tetapi apabila berlaku peristiwa besar itu, saya akan kembali untuk memimpin Umno semula,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa berucap dalam forum “Kerjasama Umno-PAS, Sejauh Mana…?” di Dewan Utama Kompleks Umno Bagan Datuk di Sungai Sumun malam tadi.
Zahid pada Disember lalu mengambil keputusan untuk bercuti dan menyerahkan tugas-tugas presiden Umno kepada Timbalannya, Mohamad Hasan.
Zahid bertindak demikian atas desakan ahli partinya yang mahu beliau meletak jawatan selepas beliau didakwa dengan 45 tuduhan di mahkamah.
Tuduhan itu membabitkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan lebih RM114 juta. Zahid pada masa ini dibebaskan dengan ikat jamin.
Beliau tampil berucap di forum itu bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Misbahul Munir yang juga yang dipertua PAS kawasannya.
Ia merupakan merupakan kemunculan pertamanya dalam arena politik, kurang dua bulan selepas beliau memutuskan untuk bercuti.
Semalam pemangku beliau Mohamad menyatakan Zahid boleh mengambil semula tempatnya sebagai presiden Umno pada bila-bila masa.
“Itu hak beliau (ambil semula jawatan) sebab beliau (hanya) bercuti. Kalau beliau sudah letih bercuti dan nak balik, terpulanglah. Saya cuma menjalankan tugas,” katanya. – 8 Februari, 2019.
Komen