MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Hakim Abdul Karim Abdul Rahman memutuskan bahawa penghakiman oleh Mahkamah Koroner sebelum ini kekal.
“Jika jawatankuasa kuil mahu adakan pemerhatian ringkas, perlu ada sebab.
“Mereka hanyalah petugas kuil dan tiada kepentingan sebenar dalam hal ini. Maka, penghakiman adalah kekal,” kata Hakim Abdul Karim.
Jawatankuasa itu pada Isnin memfailkan permohonan semakan kehakiman supaya dibenarkan terlibat dalam inkues kematian Adib yang akan bermula minggu depan.
Permohonan difailkan selepas Mahkamah Koroner memutuskan jawatankuasa terbabit tidak boleh menjadi pihak berkepentingan.
Peguam yang mewakili mereka, M. Visvanathan, berkata keputusan mahkamah itu akan menjadikan inkues tersebut tidak bermakna.
“Kita tak faham bagaimana dalam era baru ini, Jabatan Peguam Negara (boleh) kata peranan jawatankuasa ini sangat kecil sehingga tak perlu melibatkan diri dalam inkues.
“Melainkan mereka dapat sahkan yang jawatankuasa ini tiada kena mengena dengan kematian Adib, barulah kita akan berpuas hati, tetapi itu pun mereka tak akan buat.” – 8 Februari, 2019.
Komen