Kerjasama Umno-PAS bukan wayang, kata Zahid


SM Amin

Ahmad Zahid Zahid berkata demikian pada Wacana Pemimpin ‘Kerjasama Umno dan PAS Sejauh Mana?’ yang turut disertai Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Misbahul Munir Masduki di Dewan Utama Kompleks Umno Bagan Datuk malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Februari, 2019.

KERJASAMA Umno dan PAS bukan sandiwara politik sebaliknya satu kerjasama yang ikhlas untuk membela agama, bangsa dan negara, kata Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Zahid, rakyat mahu melihat kedua-dua parti terbesar Melayu Islam itu bersama selepas merasakan ditipu dengan janji-janji pilihan raya yang gagal ditunaikan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Apabila orang Melayu dan rakyat secara keseluruhannya dijanjikan dan janji itu tidak dapat ditunaikan, mereka mengharap ada alternatif yang boleh diharap oleh mereka.

“Mereka mahu melihat kerjasama Umno dan PAS diterjemahkan dalam bentuh tahaluf yang sebenarnya dalam masa terdekat. Mereka mahu kerjasama ini dilakukan sebelum PRU15,” katanya ketika menjadi panel forum “Kerjasama Umno-PAS, Sejauh Mana…?” di Dewan Utama Kompleks Umno Bagan Datuk di Sungai Sumun malam tadi.

Menurut Zahid, kerjasama yang berlaku antara Umno dan PAS ketika ini bukan sahaja hanya melibatkan pemimpin atasan kedua-dua parti itu seperti dahulu tetapi kerjasama diperingkat negeri dan bahagian juga sudah bermula.

Bagi membuktikan keikhlasan bekerjasama, Zahid menawarkan kepada PAS Bagan Datuk untuk menjadikan pejabat Umno lama sebagai markas PAS yang baharu.

“Saya lihat ianya sedang berlaku kerana di bawah yang dahulunya cukup sukar untuk disatukan, sekarang ini ianya berlaku tanpa ada paksaan.

“Kerjasama Umno dan PAS dibentuk bukan wayang politik. Keikhlasan melebihi tujuan politik. PAS boleh guna pejabat Umno lama untuk dijadikan pejabat PAS,” katanya.

Bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak Yang Dipertua PAS Bagan Datuk Mohd Misbahul Munir Masduki yang mengatakan PAS selesa beroperasi di markas sendiri.

“Terima kasih bagi pinjam bangunan Umno. Kita orang PAS ini lebih selesa menggunakan markas sendiri, berlegar bersama orang kampung, PAS ini parti orang miskin tetapi kita hargai,” katanya yang turut menjadi penel forum tersebut.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Umno, Misbahul berkata ianya bukan satu perkara yang tidak boleh dilaksanakan selagi mana kerjasama itu berpandukan Alquran dan ijtima ulama.

Jelasnya, PAS sebelum ini telah menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat namun tidak kekal lama kerana asas kerjasama sama itu tidak kukuh dan DAP tidak menghormati perjuangan PAS.

Bagi membuktikan keikhlasan bekerjasama, Zahid menawarkan kepada PAS Bagan Datuk untuk menjadikan pejabat Umno lama sebagai markas PAS yang baharu, namun ditolak secara baik oleh Yang Dipertua PAS Bagan Datuk Mohd Misbahul Munir Masduki yang mengatakan PAS selesa beroperasi di markas sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Februari, 2019.

“Bila kita letakkan asas yang kukuh dalam kerjasama kita, akan kekal sampai bila-bila. Tetapi jika asasnya tidak kukuh sekejap sahajalah. 

“Dan asas yang kukuh pada kita adalah berpandukan Al-Quran, ijtima ulama dan qiyas. Tidak salah kita mencari rakan baharu yang menghormati prinsip perjuangan kita.

“Sekiranya apa yang kita buat ini dilihat sandiwara, tidak mungkin lakonan ini dapat menghimpunkan ratusan ribu di Kuala Lumpur. Bersih pun tidak seramai itu,” katanya yang menyifatkan kerjasama tersebut “tidak lagi sejauh mana, sedekat di hati.”

Beliau juga meminta supaya kaum lain tidak merasa sebarang ancaman mengenai kerjasama tersebut kerana Al-Quran mengajar supaya berlaku adil terhadap semua kaum.

“Al-Quran mengajar supaya jangan kerana benci sesuatu kaum menyebabkan berlaku tidak adil kerana adil itu dekat dengan taqwa.

“Kita akan jadikan Al-Quran sebagai panduan untuk mentadbir kerajaan. Kaum lain tidak perlu bimbang. Kita tidak akan menzalimi orang lain, semua akan diberikan keadilan yang sewajarnya,” ujarnya. – 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen