Jumlah korban pangsapuri runtuh di Istanbul cecah 10 orang


Pekerja penyelamat bersusaha mencari dan mengeluarkan mangsa runtuhan di daerah Kartal, Istanbul. – Gambar EPA, 8 Februari, 2019.

JUMLAH kematian dalam runtuhan blok pangsapuri di Istanbul meningkat kepada 10 orang pada Khamis apabila lebih banyak mayat dikeluarkan dari runtuhan, kata pihak berkuasa Turki.

Bangunan lapan tingkat yang terletak di daerah Kartal, runtuh pada Rabu tetapi puncanya masih belum jelas.

Penyelamat pada awalnya mengatakan angka kematian adalah dua orang tetapi Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya berkata pada Khamis angka itu melonjak kepada 10 orang apabila lebih banyak mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan, menurut agensi berita kerajaan Anadolu.

Lebih 13 lagi cedera, tiga daripada mereka parah, katanya.

Ketika pasukan penyelamat meredah timbunan serpihak konkrit dan logam berpintal, yang juga menghancurkan beberapa kenderaan berdekatan, mereka juga menemui mangsa yang terselamat pada Khamis - seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Dia dibawa ke hospital tetapi keadaannya tidak dapat dipastikan.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai berada di dalam bangunan ketika ia runtuh, walaupun 43 orang didaftarkan tinggal di 14 pangsapura berasingan, kata Anadolu.

Rakaman kamera pengawasan ketika kejadian runtuh yang disiarkan stesen televisyen Turki menunjukkan orang bertempiaran melarikan diri ketika bangunan itu hancur, meninggalkan awan debu yang besar.

Laporan media berkata, tiga daripada lapan tingkat bangunan itu dibina secara haram, yang menjadi kebiasaan di bandar mempunyai kira-kira 15 juta penduduk.

Bercakap kepada saluran berita NTV, beberapa mangsa berkata bangunan itu, yang penuh dengan retakan, seakan bergoyang pada awal hari itu.

Kejadian itu menjadi amaran mengenai kerapuhan bahagian infrastruktur kediaman Istanbul, dengan beberapa bangunan runtuh beberapa tahun kebelakangan ini.

Satu struktur empat tingkat runtuh tahun lalu berikutan ribut petir dan pada Januari 2017, dua orang mati ketika bangunan lain runtuh. – AFP, 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen