Kerajaan Portugal arah ribuan jururawat mogok kembali bertugas


Jururawat mengadakan mogok dan protes di depan Parlimen di Lisbon, Portugal pada September 2017. Tahun ini, kira-kira 1,200 jururawat menyertai mogok untuk mendesak gaji tinggi, bayaran kerja lebih masa dan menamatkan pembekuan naik pangkat. – Gambar EPA, 8 Februari, 2019.

KERAJAAN Portugal pada Khamis mengarahkan jururawat yang mogok kembali bekerja untuk mengekalkan perkhidmatan kesihatan pada tahap minimum.

“Kami tidak mempunyai pilihan lain,” kata Menteri Kesihatan, Marta Temido selepas mesyuarat Kabinet.

Temido berkata pemberhentian sepanjang minggu berhubung gaji “terlalu berbahaya” dan keperluan undang-undang bagi perkhidmatan minimum tidak dapat dipenuhi dengan ratusan pembedahan dibatalkan.

Kira-kira 1,200 jururawat bilik bedah di tujuh hospital awam Portugal menyertai mogok itu, menurut penganjur yang mendesak gaji lebih tinggi, bayaran kerja lebih masa dan menamatkan pembekuan naik pangkat.

Kementerian Kesihatan berkata pada Isnin, sekurang-kurangnya 645 pembedahan, atau 57% di beberapa hospital terjejas, terpaksa ditangguhkan, memaksa kerajaan membuat keputusan.

Sistem kesihatan Portugal menggunakan sejumlah 42,000 jururawat, kata penganjur mogok.

Mogok sebelum ini menyaksikan hampir 8,000 pembedahan dibatalkan atau ditangguhkan antara 22 November dan 31 Disember 2018.

Jururawat memulakan “mogok surgikal” terbaru mereka pada awal bulan bagi menekankan keadaan kerja mereka.

Sara Rego dari hospital timur laut Vila Real berkata mereka berharap dapat bertahan sehingga akhir bulan ini dengan bantuan lebih 780,000 euro (AS$890,000) hasil sumbangan dalam talian.

Tiga lagi hospital, termasuk yang terbesar di Lisbon, menyertai mogok sejak Jumaat apabila jururawat mengadu mengenai gaji bulanan serendah 1,400 euro (AS$1,600).

Perdana Menteri Antonio Costa mengecam mogok itu sebagai “benar-benar menyalahi undang-undang” sebelum mengumumkan pada Selasa merancang untuk memaksa jururawat kembali bekerja melalui langkah tuntutan sivil.

Mogok itu berlaku ketika Portugal keluar dari tempoh penjimatan yang dicetuskan oleh krisis kewangan 2007.

Parti Komunis Portugal, yang pada umumnya menyokong kerajaan Sosialis Costa, mengecam kesan mogok terhadap penjagaan kesihatan.

Sesetengah kesatuan bersuara berhubung tindakan terbaru, dengan Ana Avoila, jurucakap  kesatuan Common Front of the Public Administration, memberitahu AFP: “Kami tidak mengiktiraf mogok seperti ini.”

Ia sebaliknya menggesa tindakan perindustrian lebih meluas pada 15 Februari bagi menuntut upah lebih tinggi, dengan menekankan kebanyakan pekerja sektor awam Portugal mengalami pembekuan upah selama sedekad. – AFP, 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen