PENGARAH filem, Woody Allen memfailkan saman AS$68 juta terhadap Amazon kerana melanggar kontrak, menuduh syarikat itu membatalkan perjanjian membuat filem yang dimeterai sebelum ini.
Perjanjian dibatalkan berkait dakwaan bahawa Allen mencabul anak perempuannya.
Allen menerusi peguamnya dari firma Quinn Emanuel Urquhart & Sullivan berkata, Amazon membatalkan perjanjian tersebut pada Jun lepas dan sejak itu enggan membayar AS$9 juta bagi pembiayaan kos filem terbarunya, “A Rainy Day in New York”.
“A Rainy Day in New York” merupakan antara filem yang bakal diterbitkan bersama pengarah filem itu di bawah perjanjian yang dicapai selepas Allen membikin program “Crisis in Six Scenes” untuk Amazon.
Allen mendakwa penamatan kontrak tersebut menyebabkan beliau dan syarikat produksinya, Gravier Productions terpaksa menamatkan perkhidmatan “beberapa individu terkenal”.
Pengarah filem itu dituduh mencabul anak angkat perempuannya, Dylan Farrow yang ketika itu berusia tujuh tahun pada awal 1990-an.
Beliau dibebaskan dari tuduhan. Bagaimanapun, Dylan sehingga kini menegaskan Allen mencabulnya. – AFP, 8 Februari, 2019.
Komen