Penyokong muda tak faham 42 tuduhan pada Najib


SM Amin

Najib Razak semasa berkempen di PRK Cameron Highlands. Walau berdepan 42 tuduhan di mahkamah, beliau masih mendapat sokongan golongan muda di Langkawi semasa lawatannya ke sana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2019.

WALAU berdepan 42 tuduhan di mahkamah, bekas perdana menteri Najib Razak masih mendapat sokongan di Langkawi, kubu kuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Penyokongnya yang terdiri dari kalangan anak muda di pulau peranginan itu memberitahu The Malaysian Insight, tuduhan berkenaan tidak menjejaskan sokongan mereka.

Tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan menerima wang dari hasil aktiviti haram tidak membawa erti pada mereka, kecuali tuduhan rasuah.

Perasaan itu dikongsi seorang pemuda, Mushab, pemilik motosikal Yamaha model Y15ZR yang gembira kerana Najib menyokong kegiatan mereka.

Model motosikal itu dikenali dengan nama Ysuku yang sering disebut dan digunakan Najib dalam kempennya untuk mendekati masyarakat agar kembali popular menjelang perbicaraannya.

“Pertuduhan kes rasuah ini kami tidak ambil kisah sangat. Kami seronok bila Najib join aktiviti budak-budak muda ini, sokong aktiviti kami. 

“Macam kelmarin (Sabtu) Najib ada jumpa geng ‘Ysuku’ lepas itu geng (motosikal) ‘RS’, walaupun saya tidak sempat sertai, tetapi tengok Najib sokong aktiviti kami, kami gembira dah. 

“Kes dia itu, kes dialah, dia selesaikanlah,” kata Mushab, 26.

Mendekati masyarakat

Najib menghabiskan masa selama lima hari bermula Jumaat lalu di Langkawi. Ia merupakan kunjungannya yang ketiga di pulau peranginan itu selepas Barisan Nasional tewas pilihan raya umum Mei lalu.

Percutian bertemakan “Selfie bersama DSN” itu tidak disenangi penyokong Pakatan Harapan (PH) yang membuat lima laporan polis.

Ada di kalangan penyokong itu meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan tinjauan sama ada program tersebut mendapat permit, dan sekiranya terdapat unsur hasutan serta perkauman.

Kawasan seperti Dataran Cenang dipagar oleh Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) bagi mengelak mantan presiden Umno itu berceramah menghasut rakyat.

“Bila polis tahu kita (budak motor) hendak jumpa Najib, banyak sekatan jalan dibuat,” kata seorang lagi pemilik Ysuku, Faizal Firdaus yang kecewa dengan sikap pihak berkuasa.

“Kita datang hendak jumpa bossku (Najib), ambil gambar. Itu sahaja.

“Budak-budak PH Bersatu ini sembang sahaja lebih tetapi aktiviti apa pun tidak ada. Program untuk anak muda tidak ada, usaha hendak membantu tidak ada, menekan lagi adalah,” tambahnya.

Sepanjang lima hari bercuti di Langkawi, Najib tidak mengadakan sebarang ceramah. Beliau sebaliknya mengunjungi pasar, menziarah orang sakit, bermain jet ski, membeli coklat dan berdialog bersama ahli PAS.

Pengunjung di Pantai Cenang, Langkawi mengambil kesempatan berswafoto bersama bekas perdana menteri Najib Razak semasa lawatannya ke sana. – Gambar Facebook, 8 Februari, 2019.

Lesen pengusaha sukan air

Tinjauan lanjut di pulau itu mendapati, terdapat juga penduduk yang menolak Pakatan Harapan atas penguatkuasaan peratuan pihak berkuasa tempatan (PBT), seperti mewajibkan lesen dan permit untuk sukan air.

Seorang pengusaha sukan air berkata, sejak Disember lalu, pihak berkuasa mewajibkan semua pengusaha sepertinya mengambil lesen atau permit bernilai ribuan ringgit untuk terus beroperasi.

Pengusaha yang ingin dikenali sebagai Rafi itu berkata, penguatkuasaan yang ketat itu menyusahkan mereka.

“Dahulu kerajaan tidak kacau sangat tetapi sekarang ini kacau sungguh. Sekarang ini tapak khemah kena bayar RM500 sebulan, bayaran untuk jetski setahun RM600. Ini baru di darat sahaja.

“Bila turun laut, bayaran lain pula. Ambil lesen Jabatan Laut pun sudah hampir RM2,000.

“Sebelum ambil lesen itu kena buat insurans dalam RM2,000 lebih untuk dapat lesen (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) pula.

“Lesen maritim lagi mahal, cagaran yang kena letak pun sudah RM5,000. Kalau jetski rosak tengah laut atau minyak tumpah, duit ini yang mereka akan gunakan untuk bayaran denda. Memang kita rasa susah sungguh,” katanya.

Rafi juga mendakwa pihak berkuasa hanya mengambil tindakan terhadap pengusaha sukan air yang menjalankan perniagaan secara sah tetapi tetapi “pejam mata” terhadap pengusaha haram.

“Sekarang ini ada 24 syarikat yang beroperasi berbanding dahulu 32 syarikat. Tetapi yang tidak berlesen pun ada juga. Kumpulan ini MPLBP atau Jabatan Laut tidak kacau sebab tidak ada kaunter.

“Tidak adillah macam ini. Mereka paksa kita ambil lesen tetapi yang tiada lesen buat secara haram tidak diambil tindakan hanya sebab mereka tidak ada kaunter,” ujarnya.

Angkara sokong Najib di Facebook

Sementara itu, seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Faizul berpendapat, sokongan terhadap PH di Langkawi merosot kerana sikap pemimpin parti itu sendiri.

Dakwanya, pemimpin berkenaan gagal menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan oleh Dr Mahathir untuk menjaga kawasan perdana menteri itu.

Selain itu, pemimpin PH tempatan juga sering menggunakan kuasa yang ada untuk “mengugut” penjawat awam yang menunjukkan sokongan kepada pembangkang, dakwanya.

Dakwanya ugutan itu berlaku apabila penjawat awam menyatakan slogan “Malu Apa Bossku” sebagai sokongan kepada Najib.

“Mereka ini bila minta bantuan macam-macam alasan mereka bagi. Bajet tiadalah. Adun pun sama sahaja, tidak nampak buat kerja.

“Tetapi bila nampak status Facebook penjawat awam tulis ‘Malu Apa Bossku’, terus kena panggil. Takkanlah nak tulis macam itu pun tidak boleh? Macam satu dosa. Itu yang orang mula bosan dengan PH,” katanya.

Bagi suri rumah Shuhada Rosli, 37, pula peningkatan kos sara hidup punca beliau kecewa dengan kerajaan PH.

Beliau yang tinggal di Pulau Tuba kesal kerana tidak lagi menikmati subsidi dan terpaksa menanggung harga tinggi.

“Orang Tuba dulu dapat subsidi pengangkutan untuk gas, gula, beras untuk dapat sama harga di Kuah.

“Tapi mula tahun ini tidak bagi dah. Harga gas RM28.50 di Kuah tapi dekat Tuba sekarang jadi RM35. Tidak kesiankah?” soalnya. – 8 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen