Penjagaan kesihatan Malaysia terbaik tetapi bagi golongan tertentu sahaja


Sheridan Mahavera

Majoriti penduduk tempatan terutama dalam kelas pertengahan bergelut untuk membayar harga ubat dan kos mendapatan rawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2019.

PENJAGAAN kesihatan di Malaysia mungkin adalah antara yang terbaik di dunia tetapi ia hanya benar bagi golongan berada, kata pemerhati.

Para profesional dan penggubal undang-undang yang mengkaji sistem penjagaan kesihatan awam dan swasta berkata, majoriti rakyat Malaysia yang berada dalam kelas bekerja dan pertengahan berdepan tempoh menunggu yang lama dan harga yang tinggi.

Komen ini datang selepas negara meraih tempat teratas dalam kategori Penjagaan Kesihatan Terbaik di Dunia bagi Index Tahunan Persaraan Global 2019 oleh sebuah majalah ekspatriat dan pesara International Living.

Menurut pakar perubatan naturopati Wong Ang Peng, analisis dilakukan majalah itu adalah “indeks penjagaan kesihatan” yang disasarkan kepada golongan warga asing kaya dan bukan ukuran sebenar sistem penjagaan kesihatan negara.

“Ya, hospital kita ada banyak peralatan moden. Kita ada pakar dan kakitangan yang boleh berbahasa Inggeris, pelengkap industri perubatan kita bagus dan paling penting, kita agak lebih murah berbanding negara maju yang setaraf,” kata Wong yang menulis kertas kerja mengenai penyelidikan mikro nutrien dan penyakit kardiovaskular.

“Tetapi ia tidak menggambarkan kualiti dan kemampuan penjagaan kesihatan bagi majoriti rakyat kita.”

Ini dibuktikan dengan harga ubat dan rawatan, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, sambil menambah majoriti rakyat Malaysia bergelut untuk membayar rawatan asas bagi kanser.

Kos ubat kanser dan kemoterapi sahaja berharga antara RM50,000 hingga RM300,000, kata ahli Parlimen itu dalam mesejnya sempena Hari Kanser Sedunia.

Satu tinjauan pada 2015 menunjukkan hampir separuh daripada pesakit kanser di Malaysia mengalami masalah kewangan selepas setahun selepas diagnosis, katanya.

“Menurut Institut Kesihatan Global George, 99% akan menggunakan simpanan hidup mereka, 39% tidak mampu membayar ubat dan 19% memutuskan untuk menghentikan rawatan.”

Kualiti terbaik untuk golongan tertentu

Penarafan penjagaan kesihatan International Living digunakan untuk menilai indeks persaraan tahunan global, yang menilai 10 destinasi utama bagi pesara berbahasa Inggeris.

Ulasan itu nampaknya ditujukan kepada khalayak Amerika, kerana harga perbandingan adalah dalam dolar AS dan kos rawatan perubatan, makanan, utiliti dan hartanah diukur dengan barangan dan perkhidmatan yang serupa di Amerika Syarikat.

Malaysia mendahului dalam kategori penjagaan kesihatan, menewaskan Perancis, Thailand, Ecuador, Mexico dan Costa Rica, mendapat markah tinggi bagi kualiti dan kemampuan.

Dalam indeks persaraan global keseluruhan untuk tahun ini, Malaysia memperoleh tempat kelima, selepas Panama, Costa Rica, Mexico dan Ecuador, tetapi di depan pesaing serantau Thailand, yang berada pada kedudukan kesembilan, Portugal (ketujuh) dan Sepanyol (ke-10).– 8 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen