PENGEDAR dadah yang telah disabitkan kesalahan di Sri Lanka akan dimaklumkan bila mereka mempunyai janji temu dengan tali gantung tidak lama lagi.
Agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa presiden Sri Lanka bakal melaksanakan hukuman mati ke atas pengedar dadah yang telah disabitkan kesalahan dalam tempoh dua bulan akan datang.
Ini susulan ikrar oleh Maithripala Sirisena bagi membebaskan negara itu daripada ancaman najis dadah menjelang tahun 2020, demikian menurut laporan media tempatan pada Khamis.
Sirisena memaklumkan parlimen pada petang Rabu bahawa beliau bertekad untuk melaksanakan hukuman mati dengan menggantung pengedar dadah yang telah disabitkan kesalahan sebagai sebahagian daripada kempen anti-narkotiknya.
Sementara itu, Menteri Keadilan Sri Lanka Thalatha Atukorale memaklumkan parlimen pada Selasa bahawa pihaknya telah mematuhi permintaan presiden untuk melaksanakan semula hukuman mati sambil menambah bahawa nama lima pengedar dadah yang telah disabitkan kesalahan sudah dihantar kepada presiden antara 12 Oktober 2018 dan akhir bulan Januari tahun ini.
Bagaimanapun, Sirisena belum menandatangani waran atau menetapkan tarikh pelaksanaan hukuman itu.
Meskipun hukuman mati adalah penalti yang sah di Sri Lanka, ia tidak dilaksanakan sejak 1976.– Bernama, 7 Februari, 2019.
Komen