Sejak Revolusi 1979, Iran tahan 860 wartawan


Sejak Revolusi 1979, Iran menahan dan memenjara 860 wartawan menurut rekod sulit yang bocor. – Gambar EPA, 7 Februari, 2019.

PIHAK berkuasa Iran menahan 860 wartawan dalam tempoh 30 tahun sejak Revolusi 1979, menurut fail didedahkan pemantau media hari ini.

Reporters Withour Borders (RSF) berkata data tersebut berdasarkan rekod sulit untuk tempoh 1979-2009 disediakan pemberi maklumat sempena ulangtahun pembentukan ke-40 republik Islam itu minggu ini.

Fail tersebut mengandungi hampir 1.7 juta rekod prosedur kehakiman dan walaupun pekerjaan mereka dalam rekod tersebut tidak disebut, penyelidik RSF menghabiskan masa berbulan lamanya untuk mengumpul dan mengesahkan nama 860 wartawan atau warga wartawan yang ditahan atau dipenjarakan.

Sekurang-kurangnya empat daripada mereka dihukum bunuh, katanya.

“Kewujudan fail ini dan jutaan catatan bukan sahaja menunjukkan skala kekejaman rejim Iran bertahun lamanya yang mendakwa penjara tidak menahan tahanan politik atau wartawan, tetapi juga mekanisma berterusan digunakan selama 40 tahun untuk menghukum lelaki dan wanita kerana pandangan mereka atau pelaporan mereka,” kata Setiausaha Agung RSF Christophe Deloire dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penemuan itu akan dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi PBB Michelle Bachelet.

Wartawan ternama yang tersenarai dalam fail tersebut termasuklah Farj Sarkhohi, ketua pengarah majalah politik yang dakwa Tehran hilang dalam perjalanan ke Jerman pada 1996.

“Rejim mengadakan sidang media di lapangan terbang bersama-sama Sarkhohi dan mendakwa beliau baharu pulang dari Turkmenistan. Sedangkan hakikatnya, beliau menghabiskan masa dua bulan dalam penjara,” kata laporan itu.

Dilaporan juga jurugambara Iran-Kanada Zahra Kazemi meninggal dunia kerana kecederaan kerana dipukul di penjara Evin, Tehran pada 2003, selepas merakam gambar keluarga tahanan sedang beratur di luar penjara. Iran menafikan pembunuhan itu, dengan laporan rasmi siasatan gagal mendedahkan punca kematian.

Laporan turut mendakwa lebih 6,000 ditahan kerana membantah pemilihan semula bekas presiden Mahmoud Ahmadinejad pada 2009 atas pertuduhan “tindakan menentang keselamatan negara”.

Rekod dalam fail bocor itu juga termasuklah pejuang hak asasi, Shirin Ebadi, peguam yang dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada 2003 dan kini hidup dalam buangan selepas beliau dan wanita lain dihalang daripada menjadi hakim selepas Revolusi 1979. – AFP, 7 Februari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen