FILIPINA dilanda penularan wabar campak sehingga meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa pada bulan lepas, menurut pihak berkuasa hari ini.
Kebanyakan yang mati adalah kanak-kanak dan angka kematian dijangka meningkat apabila lebih banyak kes dilaporkan mudah berjangkit.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh jabatan kesihatan Filipina, kes melonjak naik daripada 791 pada 2017 kepada 5,120 pada tahun lepas. Pada Januari tahun ini sahaja, sebanyak 1,183 kes dilaporkan.
Ini menunjukkan penyakit campak membunuh 30 orang dalam lapan bulan pertama pada tahun lepas.
Kata pihak berkuasa, kadar vaksin di Filipina berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan, sambil menyebut kontroversi mengenai keselamatan vaksin denggi, Dengvaxia menjadi punca.
“Pemvaksinan campak menurun dalam tempoh lima tahun lepas,
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu vaksin Dengvaxia yang jadi penyumbang,” kata setiausaha rendah kesihatan, Eric Domingo.
Kebimbangan mereka bermula pada hujung 2017, tidak lama selepas kerajaan memberi vaksin Dengvaxia kepada 837,000 pelajar sebagai sebahagian daripada kempen imunisasi kepada masyarakat.
Pengeluar vaksin itu, Sanofi, mencetuskan panik apabila berkata analisis terkini menunjukkan Dengvaxia boleh menyebabkan gejala yang lebih teruk kepada mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi.
Sanofi bagaimanapun tegas menyatakan yang produk keluarannya selamat. Tetapi Manila masih menghentikan kempen imunisasi dan menyebabkan ribuan ibu bapa tertanya-tanya apakah anak mereka berada dalam risiko.
Pada November 2018, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa kes campak di seluruh dunia melonjak kepada lebih 30% pada 2017 berbanding tahun sebelumnya, ekoran kanak-kanak tidak diberi vaksin.
Hospital San Lazaro di Filipina melaporkan lebih daripada 50 kematian akibat campak dan lebih daripada 1,500 pesakit pada Januari sahaja. – AFP, 7 Februari, 2019.
Komen