Cadangan sistem e-undi masih dalam perbincangan awal, kata pengerusi SPR


Ragananthini Vethasalam

SPR masih mengkaji kebaikan dan keburukan sistem itu, kata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji pertimbangan untuk melaksanakan sistem undian eletroknik, meskipun ia masih dalam perbincangan awal, kata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

“Sekarang ini kami baru mengkaji kebaikan dan keburukannya. Kami ada demonstrasi bagaimana ia berfungsi dan apakah peralatan yang digunakan (tetapi) masih belum melibatkan pihak berkepentingan.

“Saya juga mengkaji kos yang terlibat. Semuanya masih di peringkat awal perbincangan,” kata Azhar menerusi mesej teks kepada The Malaysian Insight.

Apabila ditanya bilakah cadangan itu akan dibentang kepada Kabinet, beliau menegaskan yang perbincangan masih di peringkat awal dan tiada masa yang ditetapkan.

Berita Harian hari ini memetik Azhar sebagai berkata SPR sedang mempertimbangkan pelaksanaan kaedah pengundian secara elektronik (e-undi) yang didapati lebih selamat dan menjimatkan kos.

Ia merupakan sebahagian daripada cadangan reformasi sistem pilihan raya negara susulan kajian yang dijalankan suruhanjaya itu.

Kaedah berkenaan yang digunakan di Rusia, Korea Selatan, India dan Congo didapati dapat menjimatkan masa serta meminimumkan jumlah kakitangan diperlukan, kata Azhar, dipetik akhbar itu.

Menurutnya, SPR melakukan pencarian fakta serta berbincang dengan beberapa pihak, termasuk pegawai dari negara yang sudah melaksanakan kaedah e-undi dan pengundian Internet. 

Azhar berkata SPR melihat sistem tersebut sebagai satu peluang namun isu kos dan keselamatan memerlukan penelitian lebih mendalam.

Katanya, badan itu masih perlu memperoleh pandangan pihak berkaitan seperti parti politik, pakar teknologi maklumat serta badan bukan kerajaan. 

Pelaksanaan sistem itu juga memerlukan pindaan beberapa akta dan peraturan berkaitan pilihan raya dan pendidikan pengundi perlu ditekankan bagi pengundi terutama di kawasan pedalaman.

Jelasnya lagi, melalui kaedah elektronik itu, jumlah undi akan diketahui serta-merta sebaik pusat mengundi ditutup menerusi sistem berkenaan kerana semua data dimasukkan dalam sistem dan kertas undi bercetak disediakan sebagai sokongan. – 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen