Inkues perlu bincang semua aspek kematian Adib, kata peguam kuil Seafield


Noel Achariam

Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam rusuhan kuil November lepas jadi ujian getir keadilan dan hubungan kaum di Malaysia, inkuesnya akan bermula Isnin depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2019.

JAWATANKUASA Selamatkan Kuil Seafield mahu memastikan semua aspek kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dibincangkan dalam inkues yang bermula minggu depan, kata peguam mewakili kuil itu M Visvanathan.

Katanya, itulah sebab utama mengapa jawatankuasa memfailkan semakan kehakiman Isnin lalu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues itu.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan selepas Mahkamah Koroner sebelum ini menolak permohonan jawatankuasa untuk menyertai inkues tersebut.

“Kita perlu bincangkan apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana anggota bomba itu cedera.

“Kami perlu tahu jika mana-mana ahli jawatankuasa atau pengunjung kuil yang menghasut sesiapa untuk datang dan mencetuskan rusuhan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

 Katanya, jika ada saksi memberi keterangan yang ada ahli jawatankuasa yang menghasut sehingga rusuhan tercetus, peguam ada peluang untuk bertanya siapa sebenarnya yang terlibat.

“Seluruh negara sekarang dipujuk supaya percaya yang ahli jawatankuasa atau pengunjung kuil yang menyebabkan kematian anggota bomba itu.

“Kita perlu tahu sama ada ini benar atau tidak. Barulah adil kepada semua pihak terlibat.”

Menjelang inkues minggu depan, sumber mendedahkan polis sedang menyiasat dua kemungkinan punca kematian Adib.

Punca pertama adalah kemungkinan dipukul perusuh, punca kedua kemungkinan Adib dilanggar trak bomba.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight yang polis sudah menyoal siasat sekurang-kurangnya tiga ahli bomba, termasuk pemandu trak yang dikatakan merempuh Adib ketika cuba mengelak perusuh ketika rusuhan berlaku di kawasan kuil yang terletak di Subang Jaya pada November lepas.

Semakan kehakiman permohonan jawatankuasa itu dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi esok.

Visvanathan berkata pasukan peguam kuil perlu diberikan akses kepada semua dokumen yang dikeluarkan untuk prosiding inkues.

“Kami perlu tahu semua kemungkinan yang mencetuskan kejadian tersebut yang menyebabkan kematian Adib. Jadi, jawatankuasa adalah pihak berkepentingan dalam inkues ini.

“Ini selaras dengan Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang menyatakan semua kemungkinan perlu diambil kira dalam siasatan yang dilakukan menerusi inkues.”

 Inkues kematian Adib akan bermula Isnin depan selama 30 hari.

Peguam keluarga Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata 30 saksi akan dipanggil termasuk beberapa anggota bomba.

Adib adalah satu-satunya mangsa yang terbunuh dalam rusuhan di kuil Hindu itu pada 26 November lepas. – 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen