Tentera Myanmar tawan kem pemberontak di wilayah utara


Tentera berikrar terus melancarkan operasi keselamatan untuk menghalang pemberontak menyusup ke dalam Zon Pentadbiran Sendiri Naga di rantau Sagaing bagi menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau itu. – Gambar fail EPA, 2 Februari, 2019.

PASUKAN tentera Myanmar menawan kem milik dua kumpulan pemberontak yang didirikan di Zon Pentadbiran Sendiri Naga di rantau Sagaing, lapor agensi berita Myanmar Khamis.

Anggota kumpulan pemberontak Assam dan Kathe itu turut ditangkap dalam operasi keselamatan yang dilancarkan di kampung Takar sejak 29 Januari lalu, demikian menurut Pejabat Panglima Pertahanan.

Agensi berita Xinhua melaporkan terdapat 15 jenis senjata api dan peluru turut dirampas di sebuah kawasan terletak kira-kira 1.6 kilometer di bahagian barat kampung terbabit.

Turut dirampas pelbagai jenis sarung peluru dan peralatan lain.

Tentera berikrar terus melancarkan operasi keselamatan untuk menghalang pemberontak menyusup ke dalam zon terbabit bagi menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau itu. – Bernama, 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen