Perjanjian kongsi kos pertahanan Korea Selatan, AS hampir muktamad


Rundingan berkaitan perkongsian kos pertahanan telah memasuki peringkat akhir, kata Ahli Parlimen, Lee Soo Hyuck, daripada Parti Demokratik. – Gambar fail EPA, 2 Februari, 2019.

KOREA Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mungkin memuktamadkan rundingan berkaitan perkongsian kos pertahanan seawal Khamis ini, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan seorang anggota parlimen parti pemerintah.

Beliau berkata bahagian yang perlu dibiayai Seoul mungkin ditetapkan sebanyak 1 trilion won (AS$889 juta).

“Rundingan berkaitan perkongsian kos pertahanan telah memasuki peringkat akhir,” kata Lee Soo Hyuck daripada Parti Demokratik kepada pemberita.

“(Kedua-dua pihak) telah bersetuju untuk menetapkan jumlah hanya untuk tahun ini, dan kini dalam proses merapatkan jurang antara mereka kepada kira-kira 1.05 trilion won (AS$934.51 juta),” kata Lee yang juga anggota jawatankuasa Parlimen mengenai hal ehwal luar.

Jumlah itu ditetapkan bagi mencerminkan peningkatan sebanyak 8.2 peratus dalam perbelanjaan pertahanan Seoul sendiri pada 2019, kata beliau.

Seoul telah membayar kira-kira 960 bilion won (AS$854.43 juta) pada 2018 sebagai sebahagian kos bagi mengekalkan sejumlah 28,500 anggota tentera AS di Korea Selatan.

Sebelum ini, kedua-dua sekutu hanya merundingkan semula perkongsian beban mereka sekali pada setiap lima tahun.

AS dikatakan telah menuntut jumlah minimum AS$1 bilion bagi 2019 selain pembaharuan tahunan perjanjian perkongsian kos itu.

Lee berkata Seoul dan Washington boleh memulakan perjanjian baharu mereka sebelum hari ini berakhir dan perjanjian itu mungkin dibentang kepada parlimen untuk ratifikasi pada April. – Bernama, 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen