BAGI S Velmunigan yang dilahirkan pada Hari Kemerdekaan Malaysia, amat penting bagi pesara itu untuk meraikan hari lahirnya dengan laungan Merdeka pada setiap 31 Ogos.
Lahir di ladang getah di Tapah, Perak, Velmunigan yang kini berusia 60 tahun mempunyai sembilan adik beradik.
Bercerita mengenai kelahirannya, Velmunigan berkata ibu bapanya yang juga penoreh getah sangat gembira apabila dia dilahirkan pada tarikh istimewa itu.
“Menurut cerita ibu saya, mereka sekeluarga keluar meraikan Hari Merdeka di estet itu bersama saudara mara dan rakan lain. Apabila tiba di rumah jam 8.30 malam itu, ibu rasa sakit hendak bersalin.
“Kemudian saya dilahirkan di rumah, disambut nenek saya yang menjadi bidan.
“Lahir pada hari Merdeka amat istimewa untuk mereka, dan setiap tahun akan ada sambutan berganda di rumah saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Velmunigan kemudian belajar di sekolah Tamil di Jalan Tapah dan selepas tamat sekolah rendah, dia dipindahkan ke SMK Abdul Hamid Khan di mana dia menamatkan persekolahan sehingga SPM.
Ketika berumur 18 tahun, dia menyertai pasukan polis kerana tidak dapat mencari pekerjaan sesuai di Tapah. Selepas selesai latihan, dia ditempatkan di ibu pejabat polis di Raub, Pahang.
“Masa saya di Raub, kontinjen di sana menubuhkan Platoon Muhibah yang terdiri daripada 10 anggota polis terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India yang meronda di kawasan itu.
“Ia mengingatkan saya yang semua bangsa bekerjasama dan meraikan Merdeka bersama.
“Antara kelebihan lahir pada hari Merdeka ialah layanan istimewa yang diterima apabila saya diberi penghormatan menaikkan Jalur Gemilang. Ia detik yang amat membanggakan buat saya.”
Velmunigan berkata beliau kemudian berhenti daripada pasukan polis selepas berkhidmat selama empat tahun.
“Saya berhenti ketika usia 22 tahun, bila saya buat keputusan untuk berkahwin. Gaji sebagai anggota polis hanya RM260 sebulan dan saya fikir perlu mendapatkan gaji lebih lagi, sebab itu saya berhenti.
“Saya selalu fikir yang saya perlu ada rumah besar, kereta mahal dan paling penting memastikan semua anak saya masuk universiti. Saya rasa tidak akan mampu mencapai semua itu jika saya kekal dalam pasukan,” katanya.
Meninggalkan estate
Velamunigan berhijrah ke Selangor pada 1980 dan mendapat kerja sebagai pengawal keselamatan di Dunlop Malaysia
“Syarikat mencari pesara polis bagi jawatan itu. Dulu saya boleh dapat dalam RM700 sebulan, lagi banyak dari semasa menjadi polis.
“Sementara bekerja di sini, saya dan kawan buat bisnes part-time sikit-sikit. Kami jual barang-barang untuk sembahyang HIndu, gelang dan aksesori lain di pasar malam sekitar Petaling Jaya.
“Saya cuma mahu cari pendapatan dengan cara yang halal utuk teruskan hidup.”
Velamunigan kemudian menjadi kerani gudang pada 1985 sehinggalah diberhentikan pada 1987, dua minggu sebelum hari lahirnya yang ke-50.
“Saya tak kecewa tetapi gembira sebab melalui perjanjian kesatuan saya dibayar dengan jumlah yang besar. Saya dah habis bayar ansuran rumah dan kereta, jadi saya tak risau.”
Dia sekarang seronok melancong bersama isterinya dan memandu teksi secara sambilan di sekitar Subang Jaya untuk memenuhi masa lapangnya.
Setiap tahun dia pasti akan balik ke Tapah, menyambut hari Merdeka bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Itu memang wajib setiap tahun sebab saya mahu anak-anak melihat tempat saya dibesarkan.”
Kenangan indah
Mengimbas kembali masa lalu, Velamunigan berkata kenangan paling indah tentang menyambut hari merdeka ialah oleh kerana dia dilahirkan pada hari kemerdekaan, maka pihak sekolah akan memintanya menaikkan Jalur Gemilang. Ini juga berlaku ketika dia berkhidmat sebagai anggota polis.
“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada budaya Malaysia. Dan saya hargai apa yang kerajaan telah lakukan untuk semua rakyat Malaysia bagi memastikan negara stabil dan aman.”
Kenangan paling manis bagi Velamunigan ialah melihat anak-anaknya mengenggam ijazah.
“Dulu saya bercita-cita nak jadi seorang doktor tapi disebabkan tak mampu nak sambung belajar. Bila melihat anak saya menjadi doktor, ia kenangan terhebat bagi saya.
“Saya bertekad untuk pastikan ketiga-tiga anak saya mengenggam ijazah dan saya sangat gembira.”
Anak perempuannya yang berumur 36 tahun, seorang pesara guru, menjaga dua cucu Velamunigan. Anak lelakinya yang berumur 33 tahun merupakan seorang doktor di Hospital Kuala Lumpur manakala anak lelaki bongsunya,27 bekerja sebagai jurutera IT.
Velamunigan berkata, harapannya sempena hari kemerdekaan ialah melihat semua kaum di Malaysia saling bekerjasama dan tinggal bersama dalam negara ini dengan aman, tanpa permusuhan.
“Saya sangat yakin dan percaya kita akan mencapainya sebagai satu bangsa yang telah 60 tahun merdeka.” – 1 September, 2017.
Komen