Ribuan cedera akibat kegilaan e-skuter


Kegilaan penggunaan e-skuter bermula pada penghujung 2017 lalu. - EPA, 7 Februari 2019.

LEBIH 1,500 orang dilaporkan cedera selepas menggunakan skuter elektrik (e-skuter) di Amerika Syarikat sejak kegilaan itu bermula pada penghujung 2017 lalu, lapor satu kaji selidik oleh “Consumer Reports”.

Berdasarkan laporan dari hospital, sekurang-kurangnya empat kematian dilaporkan berhubung penggunaan e-skuter.

Sebanyak 1,542 kes rawatan kecemasan untuk kecederaan berkaitan e-skuter dilaporkan selepas 110 hospital dihubungi dan lima agensi di 47 bandar di mana dua syarikat skuter terbesar beroperasi.

Penggunaan skuter elektrik yang membolehkan pengguna menyewa dan menurunkan peranti roda dua untuk perjalanan singkat dianggap sebagai revolusi untuk pengangkutan awam di bandar.

Tetapi beberapa media melaporkan kemungkinan penggunaan e-skuter itu mendatangkan bahaya.

Minggu ini seorang pelajar berusia 21 tahun meninggal dunia selepas ditembak ketika menggunakan e-skuternya di Austin, Texas.

Penganalisis Consumer Reports, William Wallace berkata, e-skuter adalah pilihan pengangkutan baharu tetapi keselamatan harus diutamakan. – AFP, 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen