Tentera Pakistan rampas dadah AS$30 juta


Tentera Laut Pakistan merampas bahan narkotik bernilai AS$30 juta dalam satu serbuan di kawasan pesisir Pasni di wilayah Balochistan. – Gambar fail EPA, 7 Februari, 2019.

TENTERA Laut Pakistan merampas bahan narkotik bernilai AS$30 juta dalam satu serbuan di kawasan pesisir Pasni di wilayah Balochistan yang terletak di barat daya negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap angkatan bersenjata tersebut.

Kira-kira 2,000kg hashish dijumpai selepas satu maklumat diterima berhubung penghantaran sejumlah besar narkotik menerusi jalan laut pada Rabu, menurut pegawai itu.

“Operasi itu dijalankan dengan perancangan teliti, pengawasan berterusan dan mendapat maklumat tepat, yang mencerminkan kesungguhan Tentera Laut Pakistan dalam mengekang sebarang aktiviti haram daripada berlaku di sepanjang pesisir kami dan kawasan laut berhampiran,” katanya.

Dadah yang ditemui diserahkan kepada pasukan anti-narkotik yang akan memusnahkannya kemudian.

Ia merupakan rampasan kedua terbesar narkotik di Balochistan sejak seminggu lepas.

Terdahulu pada Sabtu, pengawal pantai Pakistan merampas sejumlah 108kg dadah dari sebuah bas penumpang semasa satu siasatan rutin. – Bernama, 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen