KIRA-KIRA 15 orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dipercayai ditembak semalam di Bole-Bakundu, sebuah lokaliti di Barat Daya, satu daripada dua wilayah bergolak yang penduduknya bertutur dalam bahasa Inggeris di Cameroon, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan sumber tempatan.
“Saya secara peribadi mengira mayat 15 mangsa yang maut, lelaki dan wanita. Semua ditembak di pasar. Mereka tidak bersenjata,” kata seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali.
Terdapat pelbagai laporan bertentangan mengenai pihak yang melakukan perbuatan itu.
Penduduk tempatan mendakwa mangsa ditembak oleh tentera kerajaan namun kerajaan mendakwa mereka terbunuh dalam satu pertempuran antara pihak tentera dan pemisah bersenjata.
“Mereka (pemisah) menyekat jalan raya ke kawasan terbabit dan tentera bertindak melepaskan tembakan untuk menakutkan mereka.
“Mereka membalas tembakan itu dan pihak tentera memutuskan untuk menyerang kawasan tersebut. Kebanyakan mangsa terbunuh ketika pertempuran itu berlaku,” kata sumber itu kepada Xinhua.
Pihak tentera belum mengulas mengenai insiden itu.
Pada Selasa, sekurang-kurangnya empat orang awam maut ditembak di dua wilayah Anglophone yang bergolak Barat Laut dan Barat Daya selepas pemisah bersenjata memulakan tindakan yang digelar sebagai “10-day lockdown”.
Pemisah bertindak mengharamkan semua aktiviti di kedua-dua wilayah mulai Selasa hingga 14 Februari sebagai langkah mengganggu aktiviti Hari Belia Kebangsaan yang dijangka disambut pada 11 Februari.
Sejak November 2017, tentera kerajaan bertempur dengan pemisah bersenjata yang mahukan kedua-dua wilayah berpisah daripada negara yang majoriti penduduknya bertutur dalam bahasa Perancis itu dan membentuk sebuah negara baharu dikenali sebagai “Ambazonia”. – Bernama, 7 Februari, 2019.
Komen