AirAsia, MAHB bawa isu cukai lapangan terbang ke mahkamah


Ragananthini Vethasalam

Peningkatan harga tambang ini mendapat tentangan oleh AirAsia yang melancarkan kempen ‘Say No To Airport Tax Increase’. – Gambar EPA, 7 Februari, 2019.

ISU perbalahan antara AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkenaan caj perkhidmatan penumpang (PSC) sudah pun berlaku sejak bertahun lalu, bertambah tegang dengan kelantangan syarikat tambang murah itu mengecam pelaksanaan levi berkenaan.

Isu ini sudah berlarutan sejak 2011 ketika kadar PSC disemak untuk pertama kalinya pada 2002. 

Levi untuk penerbangan antarabangsa dinaikkan daripada RM51 hingga RM65 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal 1 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

PSC antarabangsa meningkat daripada RM25 hingga RM32 di terminal penerbangan tambang murah KLIA dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Peningkatan harga tambang ini mendapat tentangan AirAsia yang melancarkan kempen “Say No To Airport Tax Increase”.

Pada 31 Oktober 2016, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang ditubuhkan pada 1 Mac tahun sama juga mengumumkan satu lagi pindaan kepada kadar PSC.

Kadar baharu itu menyaksikan PSC untuk penerbangan domestik diseragamkan kepada RM11 berbanding kadar lama RM9 di KLIA dan lapangan terbang lain manakala RM6 untuk klia2.

Bagi penerbangan Asia, kadar itu dikurangkan kepada RM35 untuk KLIA dan lapangan terbang lain manakala bagi klia2 bayaran meningkat daripada RM32 ke RM35.

Mavcom juga memutuskan untuk meningkatkan kadar penerbangan antarabangsa bukan Asean untuk klia2 kepada RM50 daripada RM32 sambil menetapkan kadar bagi terminal utama dan lapangan terbang lain pada RM73.

Pada 1 Januari 2018, kadar antarabangsa bukan Asean ditetapkan pada RM73 untuk semua lapangan terbang.

Perkhidmatan rendah, caj lebih tinggi

Semuanya bermula apabila wujudnya kenyataan berapi-api dan saling berbalas tuduhan yang akhirnya membawa kepada pergelutan undang-undang.

AirAsia dan AirAsia X enggan mengutip caj tambahan RM23 untuk penerbangan antarabangsa bukan Asean dari Januari tahun lalu dengan alasan kemudahan klia2 lebih rendah berbanding KLIA. Sehubungan itu mereka tidak membenarkan kadar yang sama dikenakan terhadap penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam satu kenyataan pada 14 Disember tahun lalu berkata, syarikat penerbangan tersebut sudah membayar sejumlah RM663.05 juta dalam cukai lapangan terbang kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) pada tarikh berkenaan.

Malah katanya, syarikat penerbangan itu juga sudah membuat beberapa aduan rasmi berhubung substandard infrastruktur di klia2 yang memberi kesan negatif terhadap prestasi operasinya dan ketetapan masa.

“Harus ditekankan bahawa kami sudah cuba pelbagai cara melibatkan MASSB mengenai isu ini tetapi tidak berjaya.

“Malangnya MASSB memutuskan mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan AirAsia yang akan membantah keras berkenaan isu itu,” kata Riad.

Hari sebelumnya, MASSB menyaman kedua-dua syarikat penerbangan AirAsia Group Bhd dan AirAsiaX bagi mendapatkan RM9.4 juta dan RM26.72 juta untuk tunggakan PSC.

AirAsia dan AirAsiaX kemudian memfailkan tuntutan balas lebih RM400 juta untuk kerugian dan kerosakan yang timbul akibat gangguan operasi di KLIA2.

Semalam, AirAsia memaklumkan MAHB telah menolak tawaran pengantaraan syarikat terhadap tuntutan balasnya.

Pada 3 Februari, MAHB mengeluarkan kenyataan membantah keengganan AirAsia mengutip jumlah levi tambahan sebagai melanggar Syarat Penggunaan 2017 (COU 2017) antara MASSB dan semua syarikat penerbangan yang beroperasi dari KLIA dan klia2. 

“Ini adalah demi kepentingan pemegang saham MAHB untuk mendapatkan semula kehilangan purata kira-kira RM7 juta sebulan berikutan AirAsia mengenakan caj lebih rendah berbanding kadar yang diwartakan.

“Ketidaksamaan yang berlaku ini memberi kesan kepada keupayaan kami untuk menarik syarikat penerbangan baru ke negara ini dan mengurangkan usaha menjadikan Malaysia hub angkat yang kuat,” katanya. – 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen