DUA eksekutif unit perhubungan awam Facebook meletak jawatan selepas mengharungi tempoh paling mencabar dalam sejarah rangkaian media sosial gergasi itu.
Caryn Marooney mengumumkan peletakan jawatannya semalam sebagai ketua kumpulan komunikasi Facebook selepas lapan tahun bersama syarikat itu dan kini bekerjasama dengan ketua eksekutifnya, Mark Zuckerberg untuk mencari pengganti.
Marooney menulis dalam laman Facebook “sudah tiba masa kembali ke akar umbi” tetapi juga menyatakan “lebih mempercayai Facebook berbanding sebelum ini”.
Sementara itu, timbalan presiden komunikasi global dan perhubungan awam Debbie Frost, mengesahkan akan meletak jawatan Mac ini, selepas hampir 11 tahun bekerja di syarikat itu.
Peletakan jawatan mereka dibuat ketika Facebook, susulan tempoh pertumbuhan luar biasa, bberdepan tekanan pelbagai pihak di dunia berhubung privasi dan keselamatan data dan kegagalan membendung manipulasi platform itu.
Bagaimanapun, Marooney menulis: “Ada banyak perkara baik di Facebook dan seluruh keluarga aplikasi setiap hari.
“Cabarannya, kami sudah ada pelan dan orang yang sesuai sedang mengusahakannya.”
Zuckerberg meraikan ulang tahun Facebook yang ke-15 minggu ini dengan mesej beliau melihat rangkaian sosial itu sebagai kuasa positif bagi masyarakat. – AFP, 7 Februari, 2019.
Komen