ZAHID Hamidi akan muncul kembali dalam arena politik, kurang dua bulan selepas beliau memutuskan untuk bercuti daripada tugasnya sebagai presiden Umno, di mana pemerhati berkata ia usaha agresif bagi membantu melancarkan penyatuan lebih kukuh PAS-Umno.
Bekas timbalan perdana menteri itu akan berkongsi pentas dengan pemimpin PAS Perak Misbahul Munir Masduki dalam satu forum bertajuk “Kerjasama Umno-PAS: Sejauh mana….” di Bagan Datok, Perak hari ini.
Zahid ialah ahli Parlimen Bagan Datok dan ketua Umno bahagian di situ.
“Ini sebahagian daripada aktiviti saya sebagai ketua Umno bahagian Bagan Datok dan ahli Parlimen,” kata Zahid kepada The Malaysian Insight.
“Saya bercuti daripada tugas presiden Umno, bukan sebagai ketua bahagian dan ahli Parlimen. Saya tidak kembali sebagai presiden tetapi saya tidak pernah berhenti bekerja sebagai ketua bahagian dan wakil rakyat.”
Disember lalu, Zahid mengumumkan akan bercuti daripada tugas presiden Umno. Tugas presiden parti pada masa ini dikendalikan oleh Timbalan Presiden Umno Mohammad Hassan.
Keputusan itu dibuat susulan beliau dikenakan 45 tuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan lebih RM114 juta. Zahid pada masa ini diikat jamin.
Susulan tindakan mahkamah itu, ada desakan untuk Zahid meletak jawatan sehingga selesai semua kes di mahkamah.
Program bersama Zahid dan PAS hari ini bakal menjadi program kedua seumpamanya antara dua parti itu selepas bekas presiden Umno Najib Razak berkongsi pentas dengan pemimpin PAS Kedah Zubir Ahmad di Langkawi baru-baru ini.
Program Najib itu sesuatu yang jarang berlaku di mana pemimpin PAS dan Umno berkongsi pentas di luar waktu berkempen pada lima pilihan raya kecil yang diadakan sejak PRU14 pada Mei tahun lalu.

Zahid dan Najib menunjukkan minat untuk membentuk penyatuan politik secara rasmi antara Umno dan PAS, dilihat sebagai cara untuk bekas parti pemerintah itu memenangi kembali Putrajaya pada PRU15.
Tetapi pemimpin PAS lebih suka jika kerjasama antara mereka kekal tidak rasmi.
Badan pemikir Ilham Centre meramalkan pakatan Umno-PAS akan dapat membantu kedua-dua parti memenangi tambahan 46 kerusi pada PRU15, dengan mengumpulkan undi mereka di belakang satu calon tunggal.
Penganalisis politik Mazlan Ali berkata sesi dialog Najib dan Zahid adalah cubaan untuk merapatkan lagi kerjasama antara kedua-dua parti di peringkat rasmi dan akar umbi bagi membentuk gabungan rasmi seperti PAS lakukan bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Pada masa ini, Umno dan PAS hanya bekerjasama dalam program tertentu, contohnya mereka memutuskan untuk menghadiri himpunan membantah usaha Putrajaya menandatangani perjanjian ICERD di Kuala Lumpur pada awal Disember.
Sokongan Umno dan PAS terhadap calon satu sama lain dalam lima PRK sejak PRU14 juga dibuat secara ad-hoc, kata Mazlan yang juga pensyarah sains politik di Universiti Teknologi Malaysia.
“Kerjasama antara mereka sekarang lebih kepada skala ta’awun,” kata Mazlan, menggunakan terma yang digunakan pemimpin PAS bagi menggambarkan kerjasama sementara mereka dengan Umno.
“Ia belum sampai ke tahap tahaluf siyasi,” kata Mazlan, yang merujuk kepada pakatan rasmi dimeterai dengan perjanjian seperti PAS bersama parti-parti dalam Pakatan Rakyat antara 2008 dan 2015.
“Jadi mesyuarat dan sesi dialog yang diadakan sekarang bertujuan mengukuhkan kerjasama supaya ia boleh dibentuk menjadi perjanjian dan gabungan baharu pembangkang.”
Mazlan berkata momentum untuk dua parti yang selama ini bermusuh dapat terbina terutama selepas mereka melihat bagaimana kerjasama di PRK Cameron Highlands berjaya meningkatkan majoriti kemenangan calon BN, di mana Umno masih mengetuainya.
“PAS dan Umno fikir mereka perlu mencipta pakatan pembangkang rasmi dan boleh bersaing dengan PH dan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan, terutama bagi dasar yang mereka percaya tidak memberi manfaat kepada Melayu dan status Islam,” katanya. – 7 Februari, 2019.
Komen