Beragama dengan santai


Mohd Syazreen Abdullah

HUMOR adalah penawar rohani – ubat bagi jiwa dan ketenangan. Kemuncak kenikmatan mengenalNya kala gundah gelana. Mencari Tuhan tidak perlu atas empuk sejadah sahaja. Humor adalah anekdot zikir dalam mengenalNya.

Tuhan ada di celah-celah gelak tawa, satira, puisi, dan syair – kehalusan seni. Kata ahli sufi, Jalaludin Rumi: “Pandanglah wajah manusia kelak anda akan menemukan esensi kebenaran tertinggi di sebalik tawanya.” Sesungguhnya agama memiliki sense of humor yang membuatkan orang lebih kenal Tuhan.

Mengenal Tuhan tidak perlu bersikap bengis, serius, antiseni. Tuhan boleh dirasai dengan pelbagai cara dan gaya – meresap ke hati dan jiwa. Justeru, humor alat paling efektif menjentik kerasnya hati.

Agama sebenarnya santai, mudah dan rileks. Kita saja-saja menyusahkan diri dalam praktik keagamaan lalu agama menjadi barbarik sifatnya.

Justeru, kita gagal menangkap pesan halus ilahi. Sebaliknya agama jadi susah, payah dan komplikated – yang mudah disusah-susahkan.

Sebahagian menyebut budaya “pongah” beragama – bebal, bodoh dan dungu. Tentulah jiwa yang tenang lebih mudah menghayati intipati kebenaran – wahyu. Dan tentu iman dapat dirasai – menghayati agama dengan tenang dan santai.

Di Malaysia, agama begitu sempit didendangkan kepada umat. Agamawan bersikap terlalu serius sama ada dalam kelompok agamanya atau penganut agama lain hatta melebar teologi kebencian.

Budaya ini mampu memicu peperangan agama seperti disebut oleh Karen Amstrong – peperangan bermula daripada benih teologi kebencian antara agama.

Dalam sejarah peradaban Islam, agama tidak disebar melalui mata pedang, sebaliknya kisah-kisah yang menyentuh nurani manusia.

Tradisi ilmu Islam bukan semata-mata dari lensa hadis, fikah, tafsir tetapi juga gelak tawa, satira, dan puisi – mampu mencerah akal dan budi.

Malangnya umat beragama telah kehilangan sensitiviti “humor” dan beragama dengan “serius”. Umat memandang kecil sumbangan humor dalam peradaban Islam. Hanya, fikah, fikah, fikah.

Tradisi Islam luas, jangan sempitkan. Buktinya sebelum abad kesepuluh, Islam mempunyai kekuasaan budaya sangat kuat dan peluasan peradaban yang terkenal di dunia sehingga ke Barat.

Misalnya tradisi sufi klasik di Eropah. Melalui pendekatan humor, perkembangan ilmu dikembangkan melalui jalan sufisme.

Bermula daripada syair, humor dan simbol seni bangunan. Ini terjadi pada era abad pertengahan Islam-Sepanyol. Ilmuwan mengajar melalui pendekatan seni – berbekas di hati manusia. Spiritual.

Ironinya, agamawan mengajarkan seolah-olah tradisi Islam hanya fikah dan hadis. Untuk faham Islam, umat cuma dihidangkan fikah dan hadis serta tafsir sahaja.

Sedangkan seniman juga melengkapi sejarah tradisi Islam. Misalnya al-Jahiz, Badiul-Zaman al-Hamdani walau mereka tidak sepopular pengetahuan umat seperti Imam Syafie dan Imam Bukhari.

Tidak lupa, bibit-bibit indah kalam Jalaluddin al-Rumi. Tokoh seperti al-Jahiz sangat besar sumbangannya dalam tradisi keilmuan Islam.

Namun, balik-balik agamawan ajar umat kenal ulama fikah dan hadis. Umat hanya bergelak ketawa dengan lawak bodoh dan luapan emosi agamawan, bukan hikmah.

Maka bergasak sekalian agamawan soal hadis sohih, daif, fikah itu, fikah ini. Sedangkan umat tidak peroleh manfaat di sebaliknya pendebatan ranting yang tidak pernah selesai.

Hakikatnya, itulah realiti yang didepani umat Melayu Islam. Kita diajar hanya fikah dan hadis. Kemudian kita bergaduh sesama tentang aliran fikah dan aliran hadis yang tidak boleh selesaikan masalah umat pun.

Nabi seorang humoris

Manusia mana tidak pernah tertawa? Tidak ada manusia di muka bumi yang tidak pernah tertawa, berjenaka, dan berhibur. Siapa pula tidak suka bercanda? Sememangnya manusia perlukan hiburan.

Kata humoris Arab, al-Jahiz manusia berfikiran sempit sahaja meninggalkan komedi. Katanya, “tidak ada seorangpun yang akan marah terhadap humor kecuali hanya orang-orang yang berwatak kaku (rigid).”

Selama tidak melampau batas tidak salah. Konon banyak tertawa menyebabkan kerasnya hati dan hilanglah ilmu. Walhal hati jadi keras dan gelap kerana kita tidak jujur sebagai manusia. Sedangkan ketawa itu memanusiakan manusia. Kerana ketawa membuka hati dan melapangkan kesempitan.

Justeru ketawa sebuah meditasi. Ketawa menenangkan hati dan jiwa. Termaktub dalam surah At Taubah: 82 dan An Naml:19.

Malangnya, kita pura-pura alim dan berlagak suci. Kita ajarkan “Islam pongah” dan sifat benci membenci kepada umat. Gamaknya, kita hanya ajarkan humor dengan ejekan troll, memperlekeh, menjatuhkan manusia. Itu adalah sikap jahili sebelum kenabian.

Umat jahiliah menghargai humor sebagai senjata menjatuhkan kabilah lain. Satira sebagai bahan ejekan sesama mereka. Ironinya, umat peradaban dahulu gelak tawa kerana membaca kisah-kisah lucu yang mencerahkan paradigma beragama seperti kisah-kisah Abu Nawas, kisah sufi.

Sebaliknya kita gelak lucu kerana saling menuduh dan mencemuh, troll mereka yang tidak sealiran dengan pegangan kita. Ironi.

Kita lupa Islam pernah berada di puncak dengan jalan kesenian. Sebahagian umat menganggap seni hanya untuk orang-orang yang jauh dari pegangan agama.

Orang agama tidak diyakini ilmunya jika menampilkan perwatakan seni. Sebahagian lagi mungkin menganggap humor tidak wujud dalam agama Islam dan menggambarkan Rasulullah saw sebagai susuk yang kaku dalam berinteraksi hingga tidak pernah ketawa.

Dalam hadis, Rasulullah bersabda, “Orang beriman itu (juga) bersenda gurau dan bermain sementara orang munafik itu suka mengerutkan kening dan marah.” (Bihar al-Anwar 74: 155 – Tuhaf al-‘Uqul hlm. 49). Hadis ini menegaskan sense of humor juga ciri keimanan.

“Bersikap lemah lembutlah pada setiap orang dan janganlah bersikap kasar. Hiburlah mereka dan janganlah menghinanya”. (Rujuk Thayib Al-Baihaqi, hlm. 129)

Bahkan kisah terkenal seperti candaan Rasulullah kepada seorang tua. Diceritakan, Rasulullah pernah mencandai seorang nenek.

Ketika nenek bertanya apakah dirinya masuk syurga, Rasulullah menjawab nenek tidak akan masuk syurga.

Si nenek menangis sebelum baginda mengutus seseorang untuk memberitahu nenek itu akan ke syurga tetapi hanya dalam bentuk seorang gadis. Inna al-jannata lâ yadkhuluhâ ajûzun (Di syurga tidak ada nenek-nenek) (HR. Thabrani dan Baihaqi).

Beragama dengan humor

Kita tidak akan menghayati keindahan beragama dengan jalan kekerasan. Humor adalah lawan sifat kaku, serius dan statik. Jangan sampai agama tampak membosankan.

Humor memberi kesan yang segar, riang dan gembira. Bahkan humor boleh menjadi senjata menjatuhkan kediktatoran.

Umat mesti cergas menafsir semiotika humor kerana terdapat rahsia pesan ajaran Quran. Alangkah hebatnya institusi agama kita andai meletakkan syarat kelayakan pendakwah mesti menguasai sastera, seni dan budaya.

Mereka akan mengolah isi kandungan khutbah Jumaat yang membosankan – penuh dengan takfiri dan diganti dengan humor yang dapat menjentik ketiduran umat tentang beragama.

Di masjid, budaya kesenian tidak harus tertakluk kepada kaligrafi khat semata-mata tetapi harus kaya dengan buku-buku sastera dan puisi. Masjid dan institusi agama sepatutnya memeriahi acara kesenian manusiawi seperti membedah karya seni agung.

Misalnya karya agung era kekuasaan Abbasiyah antaranya Fardausi, Rumi, Sa’adi, Nizami, Jami, Hafiz, Attar, Abi Hanifah, Ibnu al-Muqaffa, Abu Nawas, Hammad Ajrad, Abdul Samad, al-Atabi, Al-Hamdumi, Ibnu Al-Rumi dan Ibnu Sakra.

Kerana pesan tokoh ulama Indonesia, Abdurrahman Gus Dur, humor itu produk orang-orang yang berakal.

Justeru, tidak hairanlah sebahagian sikap beragama sebahagian pesantren begitu kritis, manusiawi dan terbuka dalam perbezaan. Barangkali setiap kiai dan kehidupan dunia pesantren seringkali kaya dengan sense of humor.

Kata Gus Dur lagi, humor adalah inspirasi tafakur dan produktif. Lainlah golongan teroris dan kelompok ektremis, mereka telah lama hilang nilai sense of humor. – 7 Februari, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen