Penjara AS gagal sedia imam, mahkamah tangguh laksana hukuman mati


SEORANG banduan beragama Islam di Amerika Syarikat (AS) yang sedang menanti hukuman mati berjaya menangguhkan pelaksaan hukumannya pada Rabu apabila mahkamah persekutuan memutuskan hak perlembagaannya dilanggar kerana negeri Alabama enggan menyediakan seorang imam untuk mengiringinya ke kamar hukuman.

Mahkamah rayuan persekutuan, yang beribu pejabat di Atlanta, membenarkan penanguhan hukuman mati terhadap Domineque Ray, 42, yang disepatutnya menjalani hukuman pada Khamis kerana merogol dan membunuh seorang gadis berusia 15 tahun pada 1995.

“Masalah utama perlembagaan di sini adalah bahawa pihak negeri sering menempatkan paderi Kristian di ruang pelaksanaan hukuman untuk melayani keperluan banduan Kristian, namun menolak untuk memberikan kelebihan yang sama kepada orang Islam dan semua orang bukan Kristian yang lain,” hakim berkata dalam keputusan mereka.

Pindaan Pertama Perlembagaan AS melarang pihak berkuasa awam daripada cenderung kepada sesuatu agama berbanding agama lain, atau menghalang kebebasan mengamalkan kepercayaan.

Ketika tarikh pelaksanaan hukuman semakin hampir, Ray, yang masuk Islam ketika berada di penjara, menuntut hak untuk diiringi ke kamar hukuman mati oleh seorang imam.

Negeri selatan yang konservatif itu membenarkan seorang penjaga penjara ke kamar berkenaan, tetapi hanya membenarkan pengiring agama yang diberi kuasa menemani hingga ke pintunya.

Peguam Ray memfailkan cabaran segera berhubung keputusan itu minggu lalu, tetapi ia ditolak oleh mahkamah rendah, yang berpendapat Alabama tidak membenarkan “risiko yang ditimbulkan dengan membenarkan seorang ulama lain ke dalam kamar pelaksanaan.”

Tetapi mahkamah rayuan mengatakan Alabama tidak membentangkan sebarang bukti mengenai risiko keselamatan seperti itu, atau mengapa ia menjadi masalah untuk melatih seorang imam mengikut protokol penjara dalam masa ditetapkan sebelum pelaksanaan hukuman.

Alabama mengumumkan selepas keputusan itu akan membawa kesnya ke Mahkamah Agung. – AFP, 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen