Undang-undang kontroversi, ekonomi buruk dorong belia Sudan protes


Sudan kecoh dengan demonstrasi di seluruh negara sejak Disember dengan rakyat yang marah pada awalnya berpunca daripada keputusan kerajaan menaikkan harga roti sebanyak tiga kali ganda. – Gambar EPA, 7 Februari, 2019.

PRESIDEN Sudan Omar al-Bashir berkata beliau sedar undang-undang ketenteraman awam yang kontroversi dan keadaan ekonomi merosot mencetuskan kemarahan dalam kalangan beliau, membawa kepada protes mendesaknya meletak jawatan.

Sudan kecoh dengan demonstrasi di seluruh negara sejak Disember dengan rakyat yang marah menggunakan bantahan jalanan, pada awalnya berpunca daripada keputusan kerajaan menaikkan harga roti sebanyak tiga kali ganda.

Protes itu dengan cepat tersebar dan berkembang menjadi himpunan membantah pemerintahan tiga dekad Bashir, dengan penunjuk perasaan melaungkan “bebas, aman, adil” ketika mendesak pemimpin veteran itu meletak jawatan.

Pihak berkuasa berkata 30 maut dalam protes itu setakat ini, tetapi kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia berkata sekurang-kurangnya 51 terbunuh.

“Mereka yang turun ke jalanan golongan belia dan majoritinya wanita,” kata Bashir, 75, kepada wartawan di kediamannya di ibu kota Khartoum semalam.

Beliau berkata undang-undang ketenteraman awam “antara sebab” kemarahan rakyat bermula.

Aktivis berkata undang-undang lama sejak berdekad lalu itu menyasarkan wanita, sering mendakwa mereka kerana “berpakaian tidak sopan dan bersikap tidak bermoral”.

Hukuman berat termasuk denda dan penjara dikenakan terhadap wanita yang didapati bersalah di bawah undang-undang itu.

Menurut kumpulan hak asasi wanita Sudan, lebih 15,000 dihukum pada 2016. – AFP, 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen