Suspek bakar bangunan di Paris baharu keluar wad psikiatri


Keadaan bangunan yang terbakar di Rue Erlanger di daerah 16th, Paris yang menyebabkan 10 orang maut. – Gambar EPA, 7 Februari, 2019.

WANITA yang disyaki membakar bangunan pangsapuri di Paris sehingga menyebabkan 10 orang meninggal dunia baru sahaja dibebaskan dari wad psikiatri, kata pendakwa Paris semalam.

Wanita berusia 40-an, yang tinggal di bangunan itu, kerap mendapat rawatan psikiatri di Paris sejak sedekad lalu.

Pada 30 Januari, enam hari sebelum kebakaran maut, beliau dibenarkan keluar dari hospital psikiatri selepas doktor mengisytiharkan beliau berada dalam keadaan baik, kata pendakwa Remy Heitz semasa sidang akhbar.

Sumber mengatakan beliau keluar dari hospital psikiatri Sainte-Anne di Paris selepas 12 hari berada di sana.

Kebakaran di tingkat atas bangunan di Rue Erlanger di daerah 16th ibu kota ini adalah yang terburuk sejak 2005.

Seramai 30 orang juga cedera dalam kebakaran yang merosakkan sebahagian besar bangunan itu pada awal pagi Selasa.

Kira-kira 20 anggota bomba meneruskan pencarian di bahagian bangunan yang terbakar pada hari berikutnya, yang diisytiharkan sebagai tidak selamat untuk didiami.

Rakaman kejadian yang dirakam oleh anggota bomba dan penduduk sekitar, menunjukkan api menjulang keluar dari tingkap dan anggota bomba memanjat tangga sempit untuk menyelamatkan penghuni ketakutan, yang hanya berpakaian tidur, dari paras paling atas bangunan lapan tingkat itu.

Individu disyaki, yang ditahan dengan segera, kini berada di sebuah kemudahan psikiatri polis.

Beliau “mabuk ketika ditahan dan cuba membakar kereta,” kata polis.

Wanita itu pernah mengalami masalah dengan polis, termasuk sekali menyebabkan kerosakan berpunca daripada kebakaran, tetapi tidak pernah disabitkan kesalahan.

Beliau beberapa kali bergaduh dengan seorang jiran, yang seorang anggota bomba, dan sekali lagi terlibat dalam perbalahan sebelum kebakaran berlaku, kata polis.

Jiran berusia 22 tahun itu memberitahu akhbar Le Parisien hari Selasa yang teman wanitanya meminta wanita itu memperlahankan muzik dipasangnya pada Isnin, menyebabkan beliau mengeluarkan kata-kata makian dan mendorong mereka menghubungi polis.

Satu majlis memperingati khas untuk mangsa yang terkorban diadakan pada Rabu di gereja Katolik Saint-François-de-Molitor yang berdekatan. – AFP, 7 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen