PRESIDEN Sri Lanka pada hari Rabu mengatakan bahawa moratorium 42 tahun berhubung hukuman mati akan berakhir dalam masa dua bulan dengan pelaksanaan gantung pesalah dadah.
Maithripala Sirisena memberitahu parlimen beliau komited untuk manjalankan semula pelaksanaan hukuman mati bagi pesalah dadah, beberapa bulan selepas bersumpah tindakan keras berhubung jenayah narkotik yang diilhamkan daripada tindakan keras kerajaan Filipina terhadap penjenayah narkotik.
“Saya harap dapat jalankan hukuman gantung pertama dalam satu atau dua bulan lagi,” katanya. “Saya rayu kepada organisasi hak asasi manusia agar tidak cuba beri tekanan terhadap keputusan ini.”
Penjenayah di Sri Lanka sering diberikan hukuman mati bagi kes pembunuhan, rogol dan jenayah narkotik namun sehingga kini hukuman tersebut diubah suai ke penjara seumur hidup.
Berikutan lawatan ke Filipina bulan lepas, Sirisena berkata beliau mahu mencontohi Presiden Rodrigo Duterte dalam menangani isu dadah haram.
Menteri Kehakiman Thalatha Athukorale hari ini mengatakan bahawa prosedur pentadbiran untuk pelaksanaan hukuman mati lima tahanan narkotik telah selesai dan Sirisena kini hanya perlu tandatangani waran kematian.
Presiden Sri Lanka itu tidak mendedahkan berapa jumlah kes yang akan terlibat dalam pelaksanaan hukuman gantung sampai mati itu.
Namun pegawai penjara mengatakan pada hari Selasa bahawa pihak berkuasa masih berusaha mencari pegawai pelaksana hukuman gantung tersebut, walaupun setelah meletakkan iklan untuk jawatan tersebut pada tahun lalu dengan menawarkan gaji sebanyak 35,000 rupee (ASD200) sebulan.
Walaupun pelaksanaan hukuman gantung terakhir dilaksanakan di Sri Lanka adalah lebih daripada empat dekad lalu, seorang pelaksana hukuman terus menduduki jawatan tersebut sehingga persaraannya pada tahun 2014. – AFP, 6 Februari, 2019.
Komen