SEBUAH hospital di Yaman mengeluarkan satu rayuan pada hari Rabu untuk kembar siam yang baru dilahirkan dibenarkan meninggalkan negara yang kini dikepung untuk menerima rawatan dan pembedahan pemisahan.
Anak-anak lelaki yang dilahirkan berhampiran Sanaa, ibu negara Yaman sekitar 10 hari yang lalu mempunyai hati dan paru-paru yang berasingan, namun berkongsi buah pinggang dan sepasang kaki.
“Saya harap mereka dapat dibawa ke luar negara secepat mungkin,” kata doktor Faisal al-Babili, ketua jabatan pediatrik di hospital Al-Thawra di Sanaa.
Babili memberitahu AFP pasukan perubatannya tidak mempunyai peralatan yang sempurna untuk merawat atau memisahkan kembar berkenaan.
Sistem kesihatan Yaman runtuh akibat perang antara kerajaan dan pemberontak Huthi.
Kelompok Huthi yang mempunyai pengaruh Iran telah terikat dalam peperangan dengan pasukan pemerintah sejak 2015.
Konflik itu telah mencetuskan apa yang disebut PBB sebagai krisis kemanusiaan paling buruk di dunia, dengan berjuta-juta orang awam berisiko menanggung kelaparan.
Sekitar 10,000 orang - sebahagian besarnya penduduk awam - telah terbunuh sejak tahun 2015 dan lebih daripada 60,000 yang lain cedera, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Bagaimanapun kumpulan hak asasi mengatakan angka kematian di wilayah itu mungkin berjumlah lima kali lebih tinggi dari angka tersebut.
Walaupun Huthi mengawal ibu negara, Arab Saudi dan sekutunya mengawal ruang udara Yaman dan menempatkan lapangan terbang antarabangsa Sanaa di bawah sekatan yang dijalankan gabungan yang dipimpin Saudi itu. – AFP, 6 Februari, 2019.
Komen