Dua wartawan Afghanistan terbunuh dalam serangan di stesen radio


Bulan lalu, wartawan Afghanistan, Jawid Noori diculik dari keretanya dan dibunuh oleh Taliban di wilayah Farah di barat negara itu. – Gambar fail AFP, 6 Februari, 2019.

DUA wartawan ditembak dan dibunuh apabila lelaki bersenjata menyerbu stesen radio mereka di timur laut Afghanistan, kata para pegawai pada hari Rabu, di samping menegaskan bahaya yang dihadapi wartawan di negara yang dilanda perang itu.

Kedua-dua lelaki berusia 20-an itu, ditembak di dalam studio Radio Hamsada, penyiar radio swasta yang berpengkalan di Taloqan, ibu kota wilayah Takhar.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan siasatan sedang dijalankan, kata jurucakap wilayah Jawad Hejri kepada AFP.

“Dua lelaki bersenjata yang tidak dikenali memasuki pejabat stesen radio kira-kira jam 6 petang, Selasa lalu, mereka menembak dua wartawan yang berada di belakang pembesar suara mereka ketika program siaran langsung. Kedua-dua wartawan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Serangan ini adalah adalah kali kedua bagi tahun ini di Afghanistan yang menyasarkan wartawan, ia berlaku ketika usaha-usaha diplomatik kini giat dijalankan bagi menamatkan perang yang berjalan selama 17 tahun.

Bulan lalu, wartawan Afghanistan, Jawid Noori diculik dari keretanya dan dibunuh oleh Taliban di wilayah Farah di barat negara itu.

2018 adalah tahun paling dahsyat buat wartawan di Afghanistan, menurut badan Reporters Without Borders.

Duta Amerika Syarikat di Kabul, John Bass, berkata beliau “bersedih dan marah” berikutan pembunuhan itu.

“Ia adalah masa untuk #Tamatkan serangan jenayah terhadap wartawan. #PressFreedom,” kata beliau dalam satu hantaran Twitter.

Amnesty International menyifatkan serangan terbaru itu sebagai “jenayah kejam” dan menggesa pihak berkuasa Afghanistan untuk memastikan perlindungan kepada wartawan agar mereka dapat bekerja dengan selamat.

“Serangan ini sekali lagi menonjolkan risiko yang dihadapi para wartawan  di Afghanistan hanya kerana mereka melakukan tugas mereka,” kata penyelidik Asia Selatan, Zaman Sultani dalam satu kenyataan. – AFP, 6 Februari, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen