Perbicaraan semakin dekat, Najib pertingkat kempen dapatkan sokongan 


Ragananthini Vethasalam

Najib dilihat mengadakan perbincangan dengan orang-orang di jalanan. Beliau turut dilihat duduk untuk minum dan makan ringan bersama rakyat di gerai-gerai, dan tidak pernah gagal untuk melakukan swafoto bersama orang-orang yang ditemuinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2019.

PENGGUNAAN media sosial dan penampilan awam yang kerap, digunakan oleh Najib Razak bagi mengumpulkan sokongan menjelang perbicaraan jenayah yang akan bermula minggu depan, kata pemerhati politik.

Mereka juga mengatakan bahawa Najib menggunakan media sosialnya untuk memanfaatkan setiap bantahan yang disasarkan ke atas pentadbiran Pakatan Harapan susulan janji-janji manifesto yang gagal dilaksanakan kerajaan.

“Ia mungkin satu kombinasi yang ingin mengawal naratif menolak PH serta membina sokongan di kalangan peminatnya sebelum perbicaraan bermula,” 

“Beliau putuskan untuk manfaatkan pangkalan media sosialnya yang besar dan menggerakkan mereka untuk menilai isu-isu yang berkaitan prestasi kerja PH,” kata pengarah eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian kepada The Malaysian Insight.

Najib dijangka dihadapkan ke mahkamah atas empat pertuduhan rasuah berkaitan dengan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn Bhd, yang ditetapkan pada 12-28 Februari.

Sehingga kini, Najib dijatuhkan 42 pertuduhan berhubung skandal 1MDB bagi kesalahan pengubahan wang, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara selama beberapa tahun.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berdepan dengan keadaan sedemikian dengan pendekatan menyerang secara tenang, beliau mengadakan rapat umum dan turut menghabiskan masa berkempen bagi calon Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.

Bekas pengerusi BN dan presiden Umno itu baharu sahaja menamatkan lawatannya ke Langkawi, kubu kuat saingannya yang juga merupakan perdana menteri ketika ini, Dr Mahathir Mohamad.

Najib dilihat mengadakan perbincangan dengan orang-orang di jalanan. Beliau turut dilihat duduk untuk minum dan makan ringan bersama rakyat di gerai-gerai, dan tidak pernah gagal untuk melakukan swafoto bersama orang-orang yang ditemuinya.

Najib bahkan mencipta slogan

Pada masa yang sama, beliau turut menghabiskan masa untuk mengemas kini media sosialnya dengan menegur beberapa dasar kerajaan PH, beliau banyak menggunakan kaedah sindiran dan humor dalam tegurannya itu.

Najib bahkan mencipta slogan “Malu apa bossku”. Di beberapa acara, Najib memberitahu pemberita bahawa rakyat Malaysia kini “merindui kepimpinannya”.

Penganalisis politik bersetuju bahawa kebangkitan Najib itu berpunca daripada kegagalan PH untuk memenuhi beberapa janji pilihan raya, terutamanya mengenai isu-isu seperti kos sara hidup dan harga barangan, dan beliau menarik perhatian rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat dengan isu-isu kos sara hidup.

Bagi penganalisis politik Khoo Kay Peng, Najib nampaknya tahu bagaimana untuk menimbulkan kekecewaan yang semakin meningkat dengan ketidakupayaan PH memenuhi beberapa janji mereka mengenai kos hidup dan menangani isu-isu sosio-ekonomi.

“Beliau adalah seorang ahli politik pintar jalanan yang mampu memanfaatkan populariti baru secara online.

“Bagaimanapun, hasil daripada semua (usahanya) ini masih di luar sana jika rakyat, terutama orang Melayu, merindui kemunculan semula,” katanya. – AFP, 6 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen