Pemimpin Nato bertemu di London pada bulan Disember


Donald Trump sering mengkritik NATO dalam ucapannya. Beliau sebelum ini mengkritik sekutunya, Jerman ketika persidangan di Brussels tahun lalu. – Gambar EPA, 6 Februari, 2019.

PIMPINAN 29 negara yang menganggotai NATO akan berkumpul di London pada bulan Disember bagi pertemuan khusus ulang tahun ke-70 perikatan itu, umum Setiausaha Agungnya, Jens Stoltenberg pada hari Rabu.

Stoltenberg dalam sebuah hantaran Twitter mengatakan bahawa ibu negara Britain adalah “satu tempat yang ideal untuk menandakan ulang tahun 70 tahun kerjasama ketenteraan transatlantik, sebagai kota pertama yang menempatkan ibu pejabat Nato pada tahun 1949”.

Pimpinan-pimpinan Nato berharap dapat menghindari drama sidang kemuncak tahun lalu di Brussels, ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump melancarkan serangan terhadap sekutunya, khususnya Jerman, yang dituduh tidak berbelanja secukupnya dalam bidang pertahanan.

Wujud perbincangan mengenai mesyuarat sepatutnya diadakan di Washington - di mana perjanjian penubuhan Nato ditandatangani - namun, di tengah-tengah kebimbangan mengenai serangan baru transatlantik, menteri-menteri luar negara akan berkumpul di ibu negara Amerika Syarikat itu pada bulan April.

“Pertemuan di London akan menjadi peluang kepada ketua negara dan kerajaan perikatan untuk menangani cabaran-cabaran keselamatan yang kita hadapi sekarang dan di masa depan, dan dapat memastikan Nato sentiasa beradaptasi bagi memastikan penduduknya yang berjumlah hampir satu bilion orang selamat, “Kata Stoltenberg dalam satu kenyataan.

Hari ulangtahun ini datang pada masa yang sangat penting untuk Nato, dengan kebimbangan mengenai komitmen Trump terhadap persekutuan itu dan kesediaannya untuk menghormati perjanjian pertahanan bersama.

Dari sudut pendirian AS, Trump bertegas dalam kritikannya terhadap ahli-ahli Nato Eropah, dengan mendakwa mereka membebaskan diri dari perlindungan yang ditawarkan tentera AS dengan tidak berbelanja demi angkatan tentera mereka sendiri.

Sebelum mengambil alih pentadbiran di Rumah Putih, Trump menggelar Nato sebagai sebuah badan yang “usang” dan tidak lama selepas sidang kemuncak yang menggemparkan pada Julai lalu, beliau mempersoalkan sama ada Amerika Syarikat akan menghormati prinsip asas perikatan bagi pertahanan bersama terhadap anggota terbarunya, Montenegro. – AFP, 6 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen