PERAYAAN Tahun Baharu Cina disambut hambar tahun ini ekoran ekonomi perlahan yang melanda negara, kata para hadirin di sebuah rumah terbuka di Kuala Lumpur hari ini.
Ahli perniagaan Raymond Chong memberitahu The Malaysian Insight bahawa orang ramai berhati-hati dengan perbelanjaan mereka, dan hanya membeli barang keperluan.
“Disebabkan keadaan ekonomi, orang cuba jimatkan lebih banyak wang, hanya belanja apa yang mereka perlukan.
“Sekiranya anda terlalu banyak beli mercun atau hiasan perayaan, anda hanya buang duit,” kata lelaki berusia 64 tahun itu di rumah terbuka yang diadakan di Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri Cina di Jalan Ampang.
Seorang lagi pengunjung yang ingin dikenali sebagai Helen berkata perayaan Tahun Baharu Cina di kawasan kejiranannya di Sentul disambut tidak seperti biasa.
“Sekarang, barang mahal. Tahun-tahun sebelum ini, perayaan ini disambut besar-besaran, tapi sekarang, semua orang perlu kurangkan perbelanjaan.”
Wanita berusia 58 tahun itu berkata di kawasan perumahannya tahun ini sambutan perayaan itu tidak begitu disambut dengan bunga api dan tarian singa , di samping menambah bahawa perayaan, yang biasanya berakhir lewat malam, berakhir dengan lebih awal pada tahun ini.

Seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Wong, turut bersetuju dengan Helen.
“Perayaan tahun ini tidak begitu meriah. Tidak banyak mercun dibakar pada hari pertama Tahun Baharu Cina. “
Beliau yang berusia 57 tahun turut berkata dirinya sering menghadiri banyak rumah terbuka, namun tahun ini menyaksikan undangan rumah terbuka berkurangan.
Jabatan Perangkaan tahun lepas berkata pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan pada suku pertama tahun 2019.
Dalam satu laporan yang bertajuk “Indikator Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan September 2018”, yang dikeluarkan pada bulan November, Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan tahunan Indeks Utama menunjukkan penurunan sebanyak 1.7% dalam bulan rujukan.
Indeks memantau prestasi ekonomi dan meramalkan hala tuju ekonomi dalam tempoh empat hingga enam bulan ke depan. – 6 Februari, 2019.
Komen