Dr Mahathir sahkan tiada rombakan Kabinet


Asila Jalil Timothy Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tersenyum kepada orang ramai ketika menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Februari, 2019.

TIDAK akan ada rombakan Kabinet seperti spekulasi ramai pihak, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, menambah beliau akan kekal bersama barisan menterinya pada masa ini.

Beliau berkata demikian sebagai menolak cakap-cakap tentang rombakan Kabinet selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Tidak ada rombakan Kabinet,” kata Dr Mahathir ketika ditemui selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur, hari ini.

“Semua khabar angin tentang rombakan Kabinet hanya berita palsu. Saya akan kekal bersama Kabinet saya,” katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menolak khabar angin mengenai rombakan itu.

Katanya, beliau tidak mendengar sebarang rombakan Kabinet daripada Dr Mahathir dan minta media sendiri meminta pengesahan dengan perdana menteri.

Khabar angin itu tersebar selepas Utusan Malaysia memetik sebuah blog yang berkata Dr Mahathir bersetuju untuk menggantikan Dr Wan Aziah dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebagai timbalan perdana menteri.

Khabar angin itu bermula daripada blogger “Anotherbrickinthewall” yang bercakap tentang rombakan itu tanpa fakta kukuh.

Azmin yang baru dipilih sebagai timbalan presiden PKR menjalani rawatan di hospital selama enam hari selepas menjalani pembedahan. – 6 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen