REMAJA berusia 21 tahun, dengan apron yang kemas merungut: “Saya mungkin hilang kerja hujung bulan ini.”
Kopi diletakkan di meja dan saya pelawa dia duduk. Pelayan kafe hipster semuda usia ini mengingatkan kenangan 1985 ketika saya bekerja sebagai pelayan warung di Jalan Raja Bot, Chow Kit. Kerjaya pertama apabila merantau ke Kuala Lumpur.
“Bos kata bisnes teruk sejak larangan merokok. Bisnes jatuh 40% bulan Januari. Jadi, kalau bulan ini masih teruk, dua pelayan terpaksa berhenti.”
Saya selalu ke kafe ini – milik tiga anak muda Melayu berusia lewat dua puluhan. Kafe bertema hitam putih ini, lokasi khas tempat menulis artikel. Pada era sekarang, wartawan tua juga menyertai generasi hipster, menulis dan berwifi di kafe.
“Pelanggan takut kena saman. Dulu, sini tempat kaki lepak, guna wifi dan order minuman bercawan-cawan. Di meja luar, dulu zon bebas merokok” katanya dengan wajar gusar.
Pelayan ini sudah macam kawan lama walaupun jarak usia kami lebih 30 tahun. Ini kali pertama wajahnya nampak gusar. Saya sudah bertandang ke kafe ini setiap Sabtu petang, sejak dua tahun lalu untuk menulis.
Kemerosotan perniagaan kafe ini sebenarnya satu fenomena yang dialami premis makanan sejak awal tahun ini. Semua pemilik restoran dan kafe yang menjadi premis tumpuan anak muda dan kaki ngopi, mengalami gangguan pendapatan yang teruk.
Satu kesan di luar jangkaan kerana angka penyusutan 40% boleh menyebabkan bisnes kafe dan restoran gulung tikar dalam tempoh enam bulan. Apalagi kafe hipster yang dibuka hasil perkongsian modal kecil tiga anak muda. Ini dilema sejak arahan larangan merokok dikuatkuasakan mulai 1 Januari lalu.
Walaupun Kementerian Kesihatan mengumumkan enam bulan pertama penguatkuasaan ini tanpa saman, pelanggan nampaknya memilih untuk beradab.
Mengelak untuk berkonfrontasi dengan pemilik premis atau berdebat dengan penguat kuasa. Tidak guna bertekak kalau sudah dikenakan notis amaran.
“Esok cuti Tahun Baharu Cina, sepatutnya saya kerja dan dapat gaji berganda. Tapi bos cakap tak perlu datang sebab tak mampu bayar gaji lebih,” rungut pelayan, ketika ditemui kelmarin.
Wajah remaja 21 tahun yang hanya lulus SPM ini jelas sangat tertekan. Disiplin hidupnya yang tekun bekerja sebagai pelayan kafe, walaupun menerima gaji RM4.50 sen sejam, antara wajah generasi hipster yang wajar dibanggakan.
Rutin bekerja syif 10 jam sehari dan enam hari seminggu satu gambaran kekuatan jiwanya untuk maju. Apalagi, dia berhasrat naik pangkat menjadi barista – kerjaya pembancuh kopi yang stailo dan dianggap ranking paling glamor dalam senario kafe moden.
Memang suasana kafe ini jelas lengang dan sunyi. Selalunya, tiap Sabtu pelanggan akan padat dan kawasan meja di laluan pedestrian jarang kosong.
Ada kala saya terpaksa meminta kerusi dan meja kecil di hujung pedestrian untuk menulis kerana semua meja dipenuhi pelanggan. Sekarang saya boleh duduk di mana sahaja.
Bagusnya, dua tiga meja yang dipenuhi anak muda, jelas kelihatan kotak rokok dan vape diletakkan di sisi laptop. Namun, saya yakin mereka tidak berani merokok di premis ini.
Pelanggan memilih bersikap akur – walaupun Kementerian Kesihatan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun dalam tempoh enam bulan pertama.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sudah mengesahkan: Enam bulan pertama tempoh penguatkuasaan pendidikan.
“Dalam tempoh ini, mereka yang masih merokok di tempat larangan akan diberikan amaran bertulis,” katanya pada 2 Januari lalu.
Ketiadaan pelanggan menyebabkan pelayan muda ini duduk di kerusi depan meja. Matanya sesekali menjeling persekitaran melihat keadaan pelanggan.
“Sabarlah,” kata saya: “Keadaan akan pulih sedikit masa lagi. Sekarang pelanggan terkejut dan masih sesuaikan diri. Nanti mereka akan kembali sebab kafe ini wifi percuma,” kata saya memujuk.
“Harap macam itulah. Sebab bos dah beri notis saya kena berhenti hujung bulan ini kalau bisnes tetap teruk,” rungutnya sedih.
Saya senyum dan berkata: “Ada lebih tiga minggu lagi, banyak berdoa moga Allah murahkan rezeki.”
Saya teringatkan kenyataan sidang media Dzulkefly. Sebagai bekas editor berita, saya peka dengan perubahan mendadak ini.
“Tempoh penguatkuasaan pendidikan satu peringatan kepada pemilik premis untuk letakkan tanda larangan merokok dan pastikan tiada orang merokok. Patuhi Peraturan 12, Kawalan Hasil Tembakau 2004.”
Pada saya, ini satu peraturan positif. Kita sedang membina tamadun baharu dalam peradaban penjagaan kualiti kesihatan ketika pelanggan berada premis makan.
Arahan ini satu tindakan melindungi kepentingan dan hak golongan bukan perokok, terutama wanita hamil dan kanak-kanak.
Cuma impak merosotnya pendapatan terhadap pemilik premis makanan tidak dijangka seteruk ini. Mengikut data kerajaan terdapat hampir 20 ribu premis makanan berdaftar.
Sekiranya 50% adalah premis pilihan perokok, bayangkan jumlah perniagaan yang terjejas. Kekurangan pelanggan akan mencipta impak domino – pemberhentian pekerja.
Awal pagi Selasa sempena cuti Tahun Baharu Cina saya memilih ke restoran; meninjau keadaan perniagaan pada jam 4.00 pagi ketika perlawanan penting Liga Inggeris disiarkan secara langsung.
Perlawanan penting West Ham dan Liverpool sepatutnya mengundang ramai pelanggan. Peminat The Reds pasti turun menyokong pasukan itu untuk kekal di tangga teratas liga.
Manakala, penyokong Manchester City dan Tottenham Hotspurs akan turun menyibuk; mengharapkan West Ham mencipta kejutan. Ini fenomena biasa ketika puncak saingan liga memasuki suku ketiga musim perlawanan.
Sejak sedekad lalu, kehadiran penonton bola sepak mencipta senario perniagaan yang menguntungkan pemilik restoran. Anak muda memilih trend menonton beramai-ramai di skrin TV besar sambil makan dan minum.
Nyata kehadiran pelanggan menyusut teruk. Restoran popular di Bandar Tasik Permaisuri ini jelas lengang. Satu kejutan kerana selama ini suasana perlawanan hebat begini akan dipenuhi kaki bola.
Nyata, untuk menonton bola sepak selama dua jam tanpa merokok dan vape pasti satu seksaan. Ia menjadikan budaya melepak sambil menonton bola sepak di premis makanan bukan lagi trend pilihan.
Kita berdepan kisah sedih pelayan muda yang bakal kehilangan kerja. Kita juga berdepan dengan detik panik pengusaha premis makanan untuk mengendalikan kesan kemerosotan perniagaan yang jatuh mendadak.
Pada masa sama, kita sedang berusaha memasuki tamadun baharu sebagai negara bangsa yang bermentaliti gaya hidup sihat kelas pertama. – 6 Februari, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen